Jabatan Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) telah mengambil inisiatif melaksanakan satu projek kajian lakaran seni bina terperinci dan susun atur perancangan perubatan khusus untuk stesen kuarantin Covid-19.
Projek tersebut melibatkan empat pensyarah iaitu Nur Amalina Hanapi, Dr. Izudinzhah Abd Wahab, Profesor Madya Nangkula Utaberta dan Dr. Noor Dina Mohd Amin bersama 33 pelajar tahun dua Senibina fakulti terbabit.
Menurut Pensyarahnya, Nur Amalina bangunan dan infrastruktur memerlukan beberapa inovasi, perubahan holistik dan penyelesaian baharu bagi menangani keperluan hidup di dunia pasca pandemik.
Justeru itu, rangkaan tipologi projek yang bertemakan bangunan kesihatan ini akan menghubungkan fungsi stesen kuarantin untuk masyarakat sekitar Johor Bahru dan Muar.
“Kertas kerja projek yang dicadangkan ini melibatkan Central Business District di sekitar Johor Bahru dan Muar yang mana para pelajar diminta untuk menghasilkan satu konsep inovasi baharu stesen kuarantin,yang ciri-cirinya tetap memelihara tapak cadangan yang berlatar belakangkan bangunan-bangunan kolonial di Muar dan pembangunan-pembangunan moden di Johor Bahru.
“Bangunan yang dirancang memerlukan pemisahan dari segi susun atur di antara petugas barisan hadapan, pengunjung yang dikenal pasti untuk dikuarantin dan ruang untuk orang awam berhubung,” katanya.
Tambah beliau, kehidupan seharian dalam tempoh kuarantin mungkin mempunyai kesan trauma dan psikologi terhadap tingkah laku dan kesihatan mental seseorang yang dikuarantin.
Oleh itu, perancangan bangunan pintar dan hijau akan menyumbang kepada penambahbaikan emosi, prestasi dan tingkah laku penghuni.
Antara tujuan utama bagi projek penyelidikan senibina ini adalah bagi mengembangkan model digital reka bentuk bangunan di kawasan bandar untuk dijadikan cadangan pusat kuarantin tetap.
“Pelajar disaran untuk memahami perhubungan susun atur di dalam stesen kuarantin dengan lokasi sekitar dan perlu memikirkan bagaimana skema reka bentuk inovatif arkitek dapat membantu pengguna untuk memahami susun atur laluan dan penyediaan rangkaian program melalui lakaran seni bina yang mampu mengurang tekanan, memelihara kesihatan mental dan psikologi tingkah laku,” katanya.
Projek ini juga melibatkan kerjasama daripada pihak industri untuk proses penilaian akhir iaitu Dato’ Ar. Haji Norman Selamat dan Kamal Ariffin Norman dari Arkitek Norman Selamat; Juhanna Turiman dari Majlis Perbandaran Kluang; Noor Harlina dari Akitek KHP dan Nur Fasihah Ngah Seron dari IPM PS Sdn. Bhd.
“Melalui kajian lakaran projek yang berlangsung selama lima minggu ini, proses penerapan susun atur yang sistematik perlu diberikan penekanan khususnya ruang farmasi, kawasan resusitasi, zon kuarantin, makmal satelit, kawasan pendaftaran kemasukan dan pelepasan, bilik linen dan ruang perkhidmatan bagi petugas barisan hadapan.
“Hasil daripada penerapan senibina stesen kuarantin ini, penuntut institusi awam khususnya graduan senibina UTHM secara langsung dapat menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang seni bina dan juga institusi kesihatan yang menjadi isu global masa kini,” katanya.