BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang menjadi institut pengajian tinggi (IPT) pertama menubuhkan RELASIS kini menyambut ulang tahun ke-10 penubuhannya dalam satu Majlis Penganugerahan Pangkat Bersekutu Pegawai RELASIS yang berlangsung pada 27 Julai lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.
Menyingkap penubuhannya pada 9 Julai 2010, RELASIS UTHM menjadi projek rintis dalam usaha mentransformasikan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) kepada golongan penuntut IPT. Proses penjenamaan semula dan peremajaan RELA pada masa itu dianggap sangat penting dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan modal insan masa hadapan yang cemerlang dalam pelbagai aspek.
Selaras dengan hasrat menyemarakkan “Gelombang Kesukarelawanan “ dan falsafah “ Dari Rakyat, Bersama Rakyat, Untuk Rakyat” kini Ikatan Relawan Rakyat Malaysia telah melalui proses transformasi hingga berjaya menjadi Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). RELASIS UTHM tumpang berbangga dengan kejayaan tersebut dan berbesar hati kerana menjadi sebahagian daripadanya.
Sejak penubuhan RELASIS UTHM, seramai 2357 mahasiswa mahasiswi telah berjaya didaftarkan sebagai pelatih RELASIS manakala 204 pelatih RELASIS telah berjaya ditauliahkan sebagai Pegawai Sukarelawan Muda. Kejayaan ini adalah berkat usaha sama yang baik antara semua pihak terutamanya dengan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) khususnya Bahagian Pembangunan Pasukan Ibu Pejabat RELA Malaysia dan RELA Negeri Johor.
Untuk mendepani cabaran masa hadapan serta memastikan RELASIS UTHM sentiasa relavan dan menjadi pilihan utama pelajar, perubahan demi perubahan ke arah penambahbaikan kandungan silibus akan dilaksanakan bagi melengkapkan pelatih dengan ilmu dan kemahiran untuk berhadapan dengan cabaran masa kini. Program-program bersifat ‘skills for life’ perlu dianjurkan bagi membantu mereka melengkapkan diri demi ‘survival’ pada masa hadapan.
Di samping itu, semangat patriotisma dan sayangkan negara perlu sentiasa menjadi tunjang serta disematkan dalam hati dan sanubari pelatih RELASIS UTHM seperti mana motto RELA “SETIA BERBAKTI”.
Peranan Pegawai-pegawai Bersekutu RELASIS UTHM juga tidak kurang pentingnya dalam menjayakan RELASIS UTHM dari awal penubuhannya hingga kini. Peranan mereka sangat penting kerana tugas mereka bukan sahaja merancang, melaksana dan menjayakan program-program RELASIS tetapi yang paling penting ialah sumbangan bakti serta usaha merealisasikan segala objektif yang disasarkan dalam penubuhan RELASIS dapat dijayakan.
RELASIS UTHM berharap segala usaha yang telah, sedang dan akan dilaksanakan ini mampu melahirkan anak bangsa yang sayang dan cintakan negaranya.
Oleh:
Penolong Pesuruhjaya RELA (Bersekutu) Ts. Mohd Hatta Hj Mohamed Ali @ Md Hani
Timbalan Komander (Latihan)
RELASIS UTHM