Batu Pahat, 21 Apr – Pelajar Bukan-Kuarantin di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang tidak dapat pulang ke kediaman masing-masing menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan mereka kepada pihak petugas Covid-19 yang sentiasa bertungkus-lumus bertugas bagi mengekang penularan wabak pandemik ini di kampus.

Hasil tinjauan soal selidik yang dibuat berkaitan persepsi pelajar terhadap pengurusan UTHM menangani situasi Covid-19 mendapati hampir kesemua pelajar terbabit berpuashati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh para petugas UTHM khasnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dan kedua.

Soal selidik kajian tersebut melibatkan penilaian empat aspek iaitu pertamanya aspek komunikasi yang melibatkan kemudahan seperti internet dan khidmat kaunseling serta aspek kedua pula menyentuh tentang kemudahan yang disediakan oleh pihak universiti seperti kaedah menangani pelajar yang memerlukan rawatan kecemasan, pengangkutan dan pembelian barangan keperluan mereka.

Aspek ketiga melibatkan keselamatan yang terdiri daripada isu jarak individu, penggunaan ‘face mask’ dan pergerakan keluar masuk manakala aspek keempat pula melibatkan makanan seperti pembahagian makanan dan minuman serta jadual pengedarannya.

Kajian ini dilakukan bertujuan untuk mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan para petugas pada masa akan datang sekali gus bagi memberi motivasi kepada mereka untuk terus berusaha memberi yang terbaik kepada universiti.

Untuk rekod, sebelum ini satu jawatankuasa khas Covid-19 yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad telah ditubuhkan serta merta apabila Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan PKP pada 14 Mac lalu.

Pelbagai persiapan telah dilakukan oleh pihak pegurusan UTHM untuk memberikan bantuan kepada para pelajar UTHM khususnya yang menetap di lapan kolej kediaman yang terlibat di kampus induk dan kampus cawangan Pagoh.

Antara tindakan pantas yang dilaksanakan ketika negara diumumkan pelaksanaan PKP ialah dengan mengenalpasti dan mengasingkan pelajar yang akan di kuarantin dan tidak perlu dikuarantin (bukan-kuarantin). Tindakan ini perlu dilaksanakan serta merta bagi mengelakkan penyebaran wabak pandemik ini secara meluas pada ketika itu.Proses saringan telah dijalankan oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) yang kemudiannya menuntut pihak pengurusan mengatur semula kedudukan pelajar di kolej-kolej kediaman agar mereka berada dalam keadaan selamat.

Tugas ini pastinya dibantu oleh pihak pengurusan kolej yang diketuai oleh pengetua masing-masing bersama felo, kakitangan kolej kediaman, pembantu felo, Majlis Kepimpinan Pelajar (MKP), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan sukarelawan yang telah bertungkus-lumus membuat pelbagai persediaan dalam menyusun atur pelajar kolej-kolej yang terlibat.

Kebajikan lebih 1000 pelajar bukan-kuarantin yang menetap di kolej-kolej kediaman tersebut dijaga dengan baik termasuklah dari segi makan dan minum, aspek keselamatan, kemudahan serta komunikasi. Petugas sukarelawan yang terlibat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab tidak mengira waktu walaupun terpaksa bersengkang mata melayani setiap keluhan pelajar dan ibu bapa.

 

 

 

Disediakan oleh:

Sarala Thulasi Palpanadan & Mohd Safiee Idris