Manfaatkan tempoh PKP dengan aktiviti pengkomposan di rumah

Berikutan penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat di seluruh dunia, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah inisiatif awal untuk memutuskan rantaian wabak pandemik tersebut dengan menguatkuasakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan...

Berikutan penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat di seluruh dunia, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah inisiatif awal untuk memutuskan rantaian wabak pandemik tersebut dengan menguatkuasakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu sehingga 28 April ini. Ini bermakna semua rakyat Malaysia perlu patuh kepada arahan supaya mengehadkan aktiviti di luar rumah semaksima mungkin dan digalakkan untuk sentiasa kekal berada di rumah masing-masing.

Susulan daripada pengumuman arahan PKP, segelintir rakyat Malaysia telah melakukan pembelian panik walaupun kerajaan telah memberikan jaminan bahawa bekalan makanan sentiasa mencukupi sepanjang tempoh ini. Hal ini secara tidak langsung mewujudkan pembelian stok makanan yang melebihi keperluan tanpa mengambil kira bahawa ada di antara makanan tersebut mempunyai tarikh luput dan tidak tahan lama. Buktinya seperti gambar yang tular di media sosial baru-baru ini mengenai pembuangan bungkusan roti yang masih belum disentuh kerana sudah tamat tempoh. Hal ini menunjukkan sikap individu yang tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri ketika membuat pembelian hanya akan mewujudkan pembaziran makanan.

Selain itu, sepanjang tempoh PKP ini kita dapat melihat senario masyarakat Malaysia yang gemar mencuba pelbagai masakan baru dan ada di antara mereka yang terpaksa menyediakan juadah dengan kerap disebabkan keperluan isi rumah. Sekiranya mereka tidak mengamalkan sikap berpada-pada dalam menyediakan hidangan makanan dan memasak dalam kuantiti yang banyak, situasi ini dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya pembaziran makanan. Statistik yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sebelum pelaksanaan PKP menunjukkan bahawa rakyat Malaysia telah membazirkan sebanyak 16,668 tan sisa makanan setiap hari yang mana jumlah ini cukup untuk memberi makan kepada 12 juta orang sehari bagi tiga kali hidangan dan dijangkakan penghasilan sisa pepejal isi rumah akan meningkat sepanjang tempoh kuarantin ini terutamanya sisa makanan.

Perkara yang amat membimbangkan pada masa ini adalah kesedaran mengenai pengurusan sisa makanan dalam kalangan masyarakat Malaysia masih berada di tahap yang rendah. Tabiat pembaziran makanan dan kadar kitar semula yang kurang dilaksanakan telah mengakibatkan peningkatan penjanaan sampah-sarap khususnya sisa makanan ke tapak pelupusan sampah di seluruh negara yang akan memberi banyak kesan negatif kepada kesejahteraan alam sekitar. Isu kritikal ini perlu ditangani segera dengan membuka minda masyarakat untuk mengubah cara hidup mereka dengan mengamalkan pengasingan sisa makanan, kitar semula dan pengkomposan. Masyarakat juga perlu diberi pendedahan bahawa sisa makanan tersebut boleh dikitar semula untuk diolah menjadi baja kompos organik.

Oleh yang demikian, kaedah pengkomposan secara ‘Takakura Home Method (THM) dilihat merupakan teknik yang terbaik untuk diketengahkan dalam kalangan masyarakat atas beberapa faktor antaranya kaedah ini lebih mudah dan sesuai untuk menguruskan sisa makanan dalam skala yang kecil jika dibandingkan dengan kaedah pengkomposan yang lain. Malah, kaedah THM ini memerlukan kos permulaan yang rendah, mudah dipraktikkan dan sisa makanan juga boleh terurai dalam jangka masa hanya dua hingga empat minggu sahaja.

Kaedah Pengkomposan Takakura ini merupakan satu kaedah inovatif yang telah diperkenalkan oleh penyelidik dari Jepun, Profesor Koji Takakura iaitu Timbalan Pengarah Wakamatsu Environment Research Institute sejak tahun 2002 untuk mengitar semula sampah makanan menjadi baja kompos. Kaedah THM ini terdiri daripada empat langkah asas yang mudah iaitu dengan penyediaan larutan penapaian, penyediaan medium pengurai, penyediaan bekas simpanan yang berongga udara dan terakhir sekali proses mencampurkan larutan penapaian dan medium pengurai bagi memulakan proses pengkomposan berlaku.

Penyediaan larutan penapaian hanya memerlukan bahan-bahan yang mudah didapati seperti tempe, taucu, yogurt atau yis kering (ibu roti) beserta gula merah dan air, kemudian larutan ini perlu diperam selama lima hari.

Langkah kedua ialah penyediaan medium pengurai dan bahan-bahan yang diperlukan hanyalah dua kilogram tanah dan satu kilogram sekam padi yang boleh juga digantikan dengan dedak, habuk kayu, hampas kelapa, daun atau rumput kering. Tanah dan sekam padi tersebut hendaklah dicampurkan dengan nisbah 2:1, sebelum larutan penapaian dituang ke atas campuran tersebut dan digaulkan secara sekata. Larutan penapaian inilah yang akan membantu menghasilkan mikroorganisma yang bertindak sebagai agen pengurai untuk memulakan proses pengkomposan. Apabila campuran sudah boleh dikepal, ini menunjukkan ianya sudah sedia untuk diperam selama lima hari dalam bekas tertutup. Jika permukaan medium dipenuhi dengan kulat berwarna putih selepas lima hari, ia menandakan bahawa medium tersebut sudah boleh digunakan sebagai medium pengurai.

Seterusnya, masukkan sisa makanan ke dalam bakul kompos yang mengandungi medium pengurai tadi dan pastikan sisa makanan tersebut dilitupi oleh medium pengurai dengan baik. Seeloknya sisa makanan dipotong menjadi kecil untuk mempercepatkan proses penguraian dan dibilas untuk menghilangkan sisa minyak dan kuah yang akan menjadi punca bau-bauan yang kurang enak. Sisa makanan akan dilihat mula terurai sedikit demi sedikit sekiranya proses pengkomposan dipraktikkan dengan cara yang betul.

Baja kompos yang terhasil dapat digunakan sebagai baja untuk tanaman sayuran sendiri di rumah dan sekali gus dapat menjimatkan wang seterusnya menghasilkan sayuran organik yang lebih segar dan bebas daripada bahan kimia. Aktiviti berkebun ini juga dapat membantu masyarakat untuk kekal produktif walaupun menjalani tempoh PKP yang lama di rumah. Justeru itu, orang ramai digalakkan supaya mengamalkan aktiviti pengkomposan di rumah untuk mengisi masa senggang sepanjang tempoh PKP dan diharapkan amalan ini dapat dipraktikkan secara berterusan dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih lestari.

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Aeslina binti Abdul Kadir

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, UTHM

&

Nur Fatin Nabila binti Hissham

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, UTHM

Categories
covid-19E-WacanaRencana

RELATED ARTICLE