BATU PAHAT,8 Mac – 200 pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) daripada keluarga yang berpendapatan 40 peratus terendah (B40) menerima bantuan berupa makanan hari ini menerusi program ‘Food Bank Siswa’ fasa 1/2020.
Sebagai pembukaan tahun baharu ini, pengedaran sumbangan fasa pertama yang diketuai oleh Dato’ Kamel Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia telah dilaksanakan buat pertama kali di Bangunan Gunasama Kegiatan Pelajar dan Kafeteria Berpusat, kampus induk.
Turut serta dalam dalam program tersebut Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, Menjalankan Tugas Naib Canselor; Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Ahli Jawatankuasa Eksekutif universiti, Pegawai Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), Jawatankuasa Protem Gerakan Pengguna Mahasiswa dan Majlis Perwakilan Pelajar UTHM.
Sesi penyerahan kali ini juga menyaksikan beberapa pusat tanggungjawab (PTj) di universiti ini turut menyumbang bantuan antaranya Koperasi UTHM, Pejabat Hubungan Universiti dan Industri, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan serta individu perseorangan.
Untuk rekod, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini menyasarkan 20,000 mahasiswa daripada keluarga berpendapatan B40 menerima bantuan menerusi program ‘Food Bank Siswa Malaysia.’
Sejak pelancaran Food Bank Siswa UTHM pada 17 September 2019 lalu, seramai 980 pelajar UTHM telah menerima manfaatnya.
Dato’ Kamel dalam ucapannya turut merakamkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada pihak KPDNHEP yang sentiasa konsisten dalam membekalkan makanan bagi memastikan program kebajikan ini dapat diteruskan untuk manfaat para pelajar.
Manakala bagi memastikan program bantuan ini dapat berjalan dengan lancar, PHEP selaku pengelola program amat mengalu-alukan sumbangan dari mana-mana pihak yang bermurah hati untuk menderma kepada Food Bank Siswa UTHM.