Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Prince of Songkhla University (PSU) telah menganjurkan the 3rd International Conference of Computational Fluid Dynamics in Research and Industry 2019 (CFDRI2019) pada 3 dan 4 Ogos lalu bertempat di Integrated Science Building, Universiti Brunei Darussalam, Brunei.

Persidangan yang telah diterajui oleh FKMP sejak tahun 2015 ini merupakan penganjuran kali ketiga, selepas penganjuran kali pertama di Malaysia dan kali kedua di Thailand. Penganjuran CFDRI2019 selama dua hari ini diadakan serentak dengan persidangan International Conference on Integrated Technologies (ICIT) 2019, yang juga anjuran bersama UTHM, PSU dan UBD.

CFDRI2019 menjadi wadah kepada para penyelidik untuk berkongsi ilmu, idea dan hasil kajian dengan rangkaian penyelidik serantau dan antarabangsa. Persidangan yang bertemakan “Emerging Research Beyond Fluid Boundaries” ini juga turut memberikan pendedahan kepada para delegasi berkaitan pemerkasaan kajian di dalam bidang dinamik bendalir serta bidang berkaitan dengannya.

Persidangan kali ini dijayakan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Norasikin Mat Isa dari UTHM sebagai Pengucap Utama yang pertama, disusuli dengan Penolong Profesor Kanan Dr. Abul Kalam Azad dari UBD dan Penolong Profesor Dr. Juntakan Taweekun dari PSU.

Sejumlah 50 kertas kerja persidangan telah dibentangkan sepanjang persidangan berlangsung dan kesemua kertas kerja tersebut bakal diterbitkan di jurnal berindeks SCOPUS.

Perasmian CFDRI2019 telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (TNCPI) UTHM, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim.

Beliau dalam ucapannya menekankan kepentingan mengekalkan kerjasama positif di antara universiti terlibat, ke arah mewujudkan kerjasama yang mampu merevolusikan kekuatan rangkaian penyelidikan di antara penyelidik Malaysia, Thailand dan Brunei.

Hadir sama ke majlis perasmian, Penolong Naib Canselor (Inovasi dan Perusahaan) UBD, Profesor Dr. Mohammad Ayub Sadiq; Penolong Pengarah Institut Penyelidikan Sistem Tenaga PSU, Penolong Profesor Dr. Juntakan Taweekun; Dekan FKMP, UTHM, Prof Madya Dr. Shahruddin Mahzan; Dekan Fakulti Teknologi Bersepadu (FIT) UBD, Dr. Liyanage Chandratilak De Silva; Pengarah Hubungan Global UBD, Dr. Sabrina Dato Paduka Haji Daud serta Pengerusi CFDRI 2019, Profesor Madya Dr. Bukhari Manshoor.

Untuk rekod, persidangan ini dianjurkan sebagai salah satu usaha positif fakulti dalam memperkenalkan UTHM kepada komuniti penyelidik dan akademik sama ada di peringkat nasional, serantau mahupun antarabangsa selain mempromosi kepakaran universiti ini dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan pembuatan secara amnya dan dinamik bendalir secara khususnya.