SEATTLE, 25 Julai – Pasukan PINE dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mewakili Malaysia ke kejohanan dunia berjaya mengharumkan nama negara apabila berjaya ke separuh akhir pertandingan Microsoft Imagine Cup World Finals 2018 yang berlangsung pada hari ini di Seattle, AS.

Sebelum ini, pasukan PINE berjaya meraih johan di Imagine Cup 2018 peringkat Asia Pasifik (APAC) sekali gus melayakkan mereka mewakili negara ke kejohanan peringkat dunia melalui hasil ciptaan alat pengesan kualiti buah nanas (IoT) yang diberi nama ‘PINE’.

Pasukan ini yang terdiri daripada tiga pelajar Tan Yit Peng (24), Yap Xien Yin (24) dan Zulnazim Dzulkurnain (25) dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) di bawah bimbingan pensyarah, Dr. Chia Kim Seng mempertaruhkan alat ciptaan tersebut di bawah kategori Anugerah “Big Data.”

Menurut Ketua Pasukan, Yit Peng kebiasaan buah nanas dipotong terlebih dahulu untuk menilai tahap kualitinya tetapi alat ini mampu memudahkan penilaian kualiti buah itu dengan pantas sekali gus dapat mengurangkan pembaziran buah yang dipotong.

“Kaedah ujian Conventional Brix memerlukan nanas dipotong sebelum jusnya boleh diekstrak ke dalam refractometer yang biasanya akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minit untuk disiapkan, tetapi dengan alat ini proses tersebut dapat diselesaikan dalam lima saat sahaja,” jelasnya.

Selain membantu menjimatkan masa semasa proses pengujian, alat ciptaan ini juga dapat mengurangkan pembaziran berbanding kaedah konvensional sebelum ini.

“Kami berharap hasil inovasi ini dapat digunakan secara meluas untuk meningkatkan pengeluaran nanas tempatan sekali gus dapat membantu industri ini berkembang maju khususnya di Johor yang merupakan negeri pengeluar nanas terbesar di Malaysia,” tambah Yit Peng.

 

*gambar ehsan lowyat.net