Batu Pahat – Dua orang pelajar Muhammad Naufal Adam (tiga dari kanan bawah) dan Nur Fatehah Fitri (dua dari kanan atas) bersama seorang pensyarah, Dr. Lee Te Chuan dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah terpilih untuk mewakili Malaysia ke ASEAN Foundation Model ASEAN Meeting ( AFMAM 2018 ) yang berlangsung di U Town Campus , National University Singapore pada 2 hingga 9 Julai lalu.
Mereka bersama lima lagi pelajar dari Malaysia telah terpilih mewakili negara sebagai peserta manakala Dr. Lee Te Chuan pula terpilih sebagai penasihat kepada pasukan yang mewakili Malaysia ini. Pasukan Malaysia berjaya mendapat tempat untuk menyertai program berprestij ini setelah dipilih menjadi 20 pasukan terbaik daripada lebih 190 penyertaan dari negara ASEAN.
Program ini ditaja sepenuhnya oleh pihak ASEAN Foundation iaitu satu badan yang bernaung di bawah negara ASEAN. Untuk rekod, ASEAN Foundation telah ditubuhkan pada 15 Disember 1997 bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai ASEAN kepada komuniti negara anggota terutama kepada remaja dan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi.
Menyentuh tentang pengisian program, setiap kumpulan yang dipilih diminta untuk menyediakan cadangan melalui tiga dasar utama ASEAN iaitu ASEAN Economic Council (AEC), ASEAN Political Security Council dan ASEAN Sosio-cultural Community (ASSC).
Untuk memenuhi tuntutan ini setiap peserta perlu menghadiri kursus, taklimat dan forum berkaitan ASEAN dan ASEAN SUMMIT seterusnya mengadakan simulasi mesyuarat negara – negara ASEAN.
Penganjuran setiap aktiviti program ini telah berjaya menonjolkan lagi kemampuan para peserta daripada UTHM yang mana Naufal Adam turut diberi tugas untuk berucap ketika pembukaan dan penutup program yang melibatkan peserta-peserta dan wakil dari negara anggota.
Selain itu, beliau turut dijemput oleh pakar ASEAN dari Thailand untuk menyertai ASEAN CU YOUTH LEAD anjuran universiti terkemuka Chulalongkorn University, Bangkok pada 30 Julai hingga 7 Ogos akan datang. Menariknya segala kos perbelanjaan bagi penginapan, makanan dan kenderaan ditaja oleh penganjur kecuali tiket penerbangan.
Sementara itu, Nur Fatehah yang turut mengemukan beberapa cadangan bernas bagi mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi oleh negara-negara ASEAN turut mendapat perhatian peserta dan penganjur tanpa sebarang bantahan.
Rentetan itu, penganjur telah melantik negara Thailand yang diketuai oleh Naufal Adam sebagai tuan rumah bagi penganjuran ASEAN SUMMIT 2019. Majlis penyerahan kuasa telah diadakan sejurus selesai majlis penutup sekali gus memilih “One Community,One ASEAN” sebagai tema kepada penganjuran pada tahun hadapan.
Kesemua dokumen yang telah dipersetujui bersama melalui ketiga-tiga mesyuarat iaitu ASEAN Senior Official Meeting, ASEAN Ministrial Meeting dan ASEAN Community Meeting telah disahkan oleh ASEAN SUMMIT dan akan diutarakan kepada ASEAN FOUNDATION untuk diimplementasikan.