Pusat Kokurikulum dengan kerjasama Unit Kebudayaan, Pusat Pembangunan dan Pengembangan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) telah mementaskan sebuah Teater Musikal yang bertajuk “High School Musical” yang menerapkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama pementasan.
Seramai 50 orang Pelajar dari Kursus Senitari Tradisi dan Kreatif telah berganding bahu bersama pelajar Kelab Warisan menyahut cabaran dengan mengambil Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama pementasan ini. Melihat permasalahan penggunaan Bahasa Inggeris yang tidak meluas dan keputusan Malaysia Universiti English Test (MUET) yang lemah, maka tenaga pengajar Kelas iaitu Encik Rosdi Abdullah telah mengusahakan skrip hinggalah kepada pementasan teater “High School Musical” ini.
Pementasan yang berlangsung selama dua jam pada 21 Mei lalu bertempat di Dewan Tunku Mahkota Ismail, UTHM dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 600 penonton yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan universiti  dan majoriti dari mereka memberi pujian dan maklumbalas positif terhadap pementasan yang sungguh hebat dan bertenaga itu.
Menurut tenaga pengajar kursus ini, Pementasan High School Musical ini bukan sahaja menguji keberanian penuntut UTHM untuk berada di atas pentas membuat persembahan, tetapi menguji sejauh mana mereka boleh mendalami ilmu seni yang bukan bidang utama mereka.
Ini kerana para peserta yang terlibat adalah dari jurusan kejuruteraan tetapi mereka menjadikan seni sebagai kokurikulum yang boleh menjadikan sebagai ilmu sepanjang hayat yang boleh digunakan sebagai bidang kedua untuk menjana pendapatan.
Sementara itu, Dr. Norashidah Abd. Rahman, Ketua Jabatan Sukan dan Kebudayaan,Pusat Kokurikulum UTHM turut menggalakkan pengajar kokurikulum mendidik pelajar untuk mendalami kemahiran lain selain bidang utama mereka iaitu kejuruteraan agar mereka boleh menggunakannya satu hari nanti.
Menurut Pengarah Pusat Kokurikulum, Profesor Madya Dr Ahamad Esa pula, pementasan yang berteraskan penggunaan Bahasa Inggeris ini sangat baik kerana bukan sahaja pelajar yang membuat persembahan akan memahami bahasa ini tetapi para penonton juga akan turut sama mendalami bahasa ini dengan tidak sengaja kerana mahu memahami isi pementasan yang menarik perhatian mereka itu.
“Usaha sebegini harus dipuji kerana Bahasa inggeris harus dipandang serius memandangkan di Institut Pengajian Tinggi tempatan, MUET sudah menjadi kewajipan kepada penuntutnya untuk lulus Band 3 sebagai syarat bergraduat,” katanya lagi.

hschool

Source: Teater “High School Musical” ketengah Bahasa Inggeris dalam Pementasan