Batu Pahat – 10 universiti awam menyertai  Pertandingan Tarian Negeri-Negeri Semenanjung dan Sabah Sarawak peringkat Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) yang berlangsung pada 4 hingga 5 April lalu di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Pertandingan tarian yang dikendalikan oleh Unit Kebudayaan, Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar, UTHM merupakan program dibawah Majlis Kebudayaan Universiti – Universiti Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
10 universiti awam yang terlibat termasuklah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS) telah menjuarai pertandingan ini, diikuti Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat Naib Juara dan Universiti Sains Malaysia (USM) mendapat tempat ketiga. Manakala UTHM selaku tuan rumah telah meraih Anugerah khas juri (kumpulan harapan terbaik) bagi kategori tarian dari negeri Semenanjung Malaysia.
Pertandingan ini melibatkan hampir 20 jenis tarian yang berasal dari negeri – negeri di Malaysia   antaranya Zapin, Joget, Inang, wau bulan, kuda pasu, mangunatip dan ngajat. Majlis Penutup dan penyampaian hadiah yang diadakan pada 5 April lalu telah disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor (Pembangunan, Pengurusan Fasiliti dan ICT), Profesor Dr. Ahmad Tarmizi  Abd. Karim.
Penganjuran pertandingan tarian yang melibatkan negeri – negeri Semenanjung dan Sabah Sarawak seumpama ini bertujuan mengangkat kesenian dan kebudayaan setiap negeri bagi memastikan khazanah budaya ini terpelihara dan diwarisi generasi akan datang.
Walaupun UTHM berdiri sebagai sebuah universiti teknikal, institusi ini tetap menyahut cabaran menganjurkan pertandingan kebudayaan seumpama ini bagi mengetengahkan bidang kesenian selain mengasah kemahiran insaniah pelajar melalui bidang tarian.

Source: UTHM ketengah bidang kesenian – 10 Universiti Awam sertai Pertandingan Tarian