Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar (P3P) telah menganjurkan Karnival Aktiviti Pelajar dan Minggu Koperasi pada 1 hingga 7 Oktober lalu bertempat di Padang Kawad, UTHM bagi mempromosi kelab-kelab yang ada di universiti ini di samping mendapatkan keahlian baru di kalangan pelajarnya.
Program ini merupakan platform kepada para pelajar khususnya yang baru mendaftar di UTHM untuk mengenali dan menyertai sebarang aktiviti yang bakal dianjurkan oleh kira-kira 47 kelab dan persatuan sekaligus memenuhi tuntutan universiti dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik dan juga kokurikulum. Karnival yang merupakan program tahunan ini juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan kerjasama antara kelab dan persatuan yang ada.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti pameran, persembahan bakat, futsal, usahawan muda, debat, pertandingan videografi, memasak, U.games, tabung amal dan juga robotik. Lebih meriah lagi tahun ini Program Karnival Aktiviti Pelajar dan Minggu Koperasi 2013 telah mendapat penajaan RM50,000.00 dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan penajaan dalam bentuk barangan daripada Petronas, Nestle dan Malaysia Youth Club.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim telah menyempurnakan majlis perasmian karnival tersebut yang berlangsung pada 7 Oktober lalu. Beliau dalam ucapan perasmiannya mengingatkan pelajar agar sentiasa meningkatkan kemahiran insaniah masing-masing dengan menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Ini kerana program sebegini merupakan salah satu pembelajaran sepanjang hayat yang perlu dihayati oleh setiap pelajar.
Turut hadir Dekan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Pelajar Prof. Madya Dr. Asri bin Selamat dan warga UTHM di samping mahasiswa yang memenuhi Padang Kawad, UTHM.
Tarikh: 23 Oktober 2013
Dikeluarkan oleh:
SHAFRY BIN SALIM
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat
Pejabat Naib Canselor
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia