BATU PAHAT – Bagi menyokong Kempen Gaya Hidup Sihat dan Komuniti Cergas yang dilaksanakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Kelab Warisan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program larian “Colour Dance Run” pada 8 Disember lalu bertempat di Pentas Terbuka, kampus induk.
Seramai 200 orang peserta yang terdiri dari pelajar UTHM dan warga Batu Pahat menyertai larian yang bertemakan warna warni ini.
Menurut pengarah program, Muhammad Naqib Hafiq Mustafa program larian ini turut menyelitkan aktiviti senamrobik dan zumba selama 30 minit selain sedikit perkongsian mengenai penjagaan kesihatan.
Menariknya pada akhir program peserta berpeluang menyertai bengkel tarian jazz dan meraikan aktiviti ini dengan percikan tepung berwarna yang bertemakan “Colour Festival.”
Pemenang pertandingan Colour Dance Run Kelab Warisan UTHM 2018, Johan kategori lelaki diraih oleh Alif Qusyairi Abd Razak manakala Johan Kategori Wanita pula diraih oleh Lim Ai Lin.
Pemenang tempat pertama hingga kelima membawa pulang medal, sijil dan hamper manakala tempat keenam hingga ke 15 mendapat medal beserta sijil.
Penasihat Kelab Warisan UTHM, Rosdi Abdullah telah menyempurnakan majlis perasmian program ini yang diadakan pada hari yang sama.
Beliau dalam ucapannya berkata penganjuran acara yang cukup meriah dan mendapat sambutan baik dari para peserta ini diharapkan dapat memberi dorongan dan semangat kepada masyarakat untuk meneruskan gaya hidup sihat dalam hidup mereka selepas ini.
“Program sebegini dapat memupuk minat remaja dan masyarakat untuk sentiasa aktif bersenam memandangkan sekarang ini kita mudah terdedah dengan pelbagai jenis penyakit dan pencemaran.”
“Masyarakat seharusnya mengamalkan gaya hidup sihat seperti ini setiap hari dan bukan sekadar menyertai program sebegini sahaja, manakala pihak universiti pula perlu menyokong program seumpama ini dengan cara memperbanyakkan lagi penganjuran aktiviti mahupun program ke arah gaya hidup sihat,” tambahnya lagi.