Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 5 Mac 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengukuhkan peranannya sebagai peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara apabila merekodkan seramai 3000 pelajar mendaftar dalam program TVET bagi semester 1, sesi akademik 2025/2026.

Daripada jumlah tersebut, seramai 2,173 pelajar mendaftar dalam program sarjana muda TVET manakala 827 pelajar memilih program diploma TVET.

Berdasarkan statistik pendaftaran, program diploma mencatatkan peratusan pendaftaran tertinggi iaitu 79 peratus berbanding unjuran, manakala program sarjana muda TVET merekodkan 67 peratus daripada sasaran yang ditetapkan.

Sementara itu, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) serta Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) pula berjaya melepasi sasaran unjuran masing-masing.

FPTP merekodkan 528 pendaftaran berbanding unjuran 480 pelajar, manakala FSKTM mencatatkan 330 pendaftaran sebenar berbanding unjuran asal 300 pelajar.

Selain itu, program Sarjana Muda Kejuruteraan Awam muncul sebagai program paling popular dengan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu seramai 309 pelajar.

Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali berkata pencapaian itu membuktikan keyakinan berterusan masyarakat terhadap kualiti pendidikan TVET yang ditawarkan oleh universiti ini.

“Pencapaian 3,000 pendaftaran ini mencerminkan kepercayaan tinggi ibu bapa dan pelajar terhadap ekosistem TVET UTHM yang berteraskan industri, inovasi dan kebolehpasaran graduan.

“UTHM komited untuk terus memperkukuh program akademik selaras dengan keperluan revolusi industri dan agenda pembangunan negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan fakulti yang melepasi sasaran unjuran membuktikan keberkesanan strategi promosi serta penawaran program yang relevan dengan kehendak pasaran kerja semasa.

“Fokus UTHM bukan sekadar mencapai angka sasaran, tetapi memastikan setiap pelajar mendapat pengalaman pembelajaran berkualiti, latihan berasaskan industri serta peluang kerjaya yang kompetitif selepas tamat pengajian,” tambah beliau.

Sebagai universiti teknikal yang memayungi 53 program sarjana muda dan tujuh program diploma di bawah TVET, UTHM akan terus memperkasa penawaran program yang responsif terhadap perkembangan teknologi dan keperluan industri bagi menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab TVET serantau.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Sin Chew Daily (sinchew.com.my), 5 Mac 2026: 敦胡先翁大学技职教育课程 3000人就读

https://johor.sinchew.com.my/news/20260305/johor/7318553

3,000 Students Enrolled in TVET Programmes at UTHM

 

2. Sin Chew Daily (Johor) (page: 6), 6 Mac 2026: 3000丄教親領先瞧