
Industri pembinaan di Malaysia kini sedang melalui fasa transformasi yang signifikan selari dengan arus pendigitalan global. Gabungan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Imbasan 3D telah mula diterapkan secara meluas dalam sektor ini, bukan sahaja sebagai alat bantu teknikal tetapi sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial. Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), yang menekankan transformasi sektor pembinaan ke arah yang lebih pintar dan mampan.
Menurut laporan Oxford Economics (2022), industri pembinaan global dijangka mencecah USD13.9 trilion menjelang tahun 2037. Malaysia, sebagai negara sedang membangun yang pesat, turut menyumbang kepada pertumbuhan ini melalui pelbagai projek mega seperti MRT3, RTS Link dan Lebuhraya Pan Borneo. Namun, cabaran yang masih berpanjangan seperti pembaziran sumber, kelewatan projek, risiko keselamatan dan pelepasan karbon masih membelenggu industri. Di sinilah pentingnya teknologi AI yang digabungkan dengan imbasan 3D, yang menawarkan penyelesaian pintar dan tepat berdasarkan data masa nyata (real-time) dan analisis automatik.
Selain dari itu,teknologi imbasan 3D berasaskan AI membolehkan pemantauan tapak pembinaan secara menyeluruh melalui penggunaan dron, LiDAR atau kamera pengimbas beresolusi tinggi. Data yang dikumpul dianalisis secara automatik oleh perisian AI untuk mengesan sebarang ketidaktepatan binaan, kecacatan struktur atau risiko keselamatan. Kajian oleh McKinsey & Company (2023) menunjukkan bahawa penggunaan teknologi ini telah meningkatkan produktiviti projek sebanyak 25% dan mengurangkan kos buruh sehingga 15%. Hasil ini diperoleh daripada pengurangan kerja pembaikan semula dan kecekapan dalam perancangan semula jadual kerja pembinaan.
Di Malaysia, syarikat pembinaan gergasi telah mula menggunakan teknologi ini dalam kerja-kerja terowong dan struktur bawah tanah. Projek MRT3 contohnya, menggunakan dron berimbas 3D yang dipadankan dengan algoritma AI bagi menjejak kemajuan penggalian dan mengesan anjakan tanah. Inisiatif ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, malah meningkatkan tahap keselamatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap pemeriksaan manual yang memakan masa.
Dari sudut pembangunan ekonomi, integrasi teknologi AI dan imbasan 3D menyokong pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) serta Dasar Revolusi Industri Keempat (4IR). Teknologi ini membuka peluang pekerjaan dalam bidang baharu seperti juruanalisis data pembinaan, jurutera AI, pengendali dron industri dan pakar pengurusan model BIM (Building Information Modelling). Dengan sokongan latihan teknikal daripada institusi TVET dan penglibatan sektor swasta, teknologi ini mampu merapatkan jurang kemahiran digital dan melonjakkan daya saing negara di rantau ASEAN.
Dari aspek kelestarian alam sekitar, teknologi imbasan 3D berasaskan AI turut memberi impak yang besar dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon dan pembaziran bahan binaan. Data daripada World Green Building Council menunjukkan bahawa industri pembinaan menyumbang hampir 39% kepada pelepasan karbon global. Imbasan 3D membolehkan reka bentuk struktur dilakukan dengan lebih tepat, manakala AI dapat mengoptimumkan penggunaan bahan berdasarkan analisis volum, struktur dan keperluan sebenar di tapak. Ini sekali gus menyokong matlamat SDG 11 (Bandar dan Komuniti Lestari) dan SDG 13 (Tindakan Terhadap Perubahan Iklim) agar dapat dicapai secara efektif.
Sebagai contoh, dengan adanya pengimbasan automatik yang dilakukan oleh robot atau dron, lawatan tapak secara fizikal boleh dikurangkan. Ini bukan sahaja mengurangkan penggunaan kenderaan dan bahan api, malah mengurangkan kesesakan dan pencemaran di kawasan pembinaan yang sering terletak di pusat bandar.
Dalam konteks sosial pula, penggunaan AI dan imbasan 3D turut menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan pekerja dan kesejahteraan komuniti sekeliling. Sistem pemantauan berasaskan AI boleh mengesan pekerja yang tidak memakai alat pelindung diri (PPE), mengenal pasti struktur binaan yang tidak stabil serta memberi amaran awal tentang bahaya yang berpotensi berlaku. Laporan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menunjukkan bahawa sektor pembinaan masih mencatatkan kadar kemalangan tertinggi dalam industri. Dengan teknologi pintar ini, insiden boleh dikurangkan secara signifikan, dan pekerja dapat menjalankan tugas dalam persekitaran yang lebih selamat dan tersusun.
Namun begitu, cabaran dalam pelaksanaan teknologi ini masih perlu dipertimbangkan. Antara halangan utama ialah kos permulaan yang tinggi, jurang kemahiran digital dalam kalangan pekerja, dan kesukaran untuk menyepadukan data daripada pelbagai sistem dan kontraktor. Sebuah sistem pengimbas laser 3D boleh mencecah antara USD40,000 hingga USD100,000, satu jumlah yang besar untuk kontraktor kecil dan sederhana (PKS). Oleh itu, kerjasama yang akrab antara kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta amat penting bagi menyediakan latihan, geran teknologi dan sokongan dasar bagi memperluaskan penggunaan teknologi ini secara menyeluruh.
Langkah-langkah seperti geran transformasi digital oleh CIDB, insentif MIDA untuk automasi, serta penawaran program mikro-kelayakan dalam bidang analitik pembinaan perlu diperluas agar tidak hanya syarikat besar yang mendapat manfaat. Usaha ini juga akan mempercepatkan peralihan kepada Industrialised Building System (IBS), pembinaan modular, dan sistem binaan hijau yang lebih mampan.
Kesimpulannya, teknologi imbasan 3D berasaskan AI bukan sekadar satu inovasi canggih, tetapi ia juga merupakan komponen penting dalam transformasi industri pembinaan negara. Ia menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi yang lebih kompetitif, menyokong pemeliharaan alam sekitar dan memperkukuh kesejahteraan sosial pekerja dan komuniti. Dalam era pasca-pandemik dan krisis iklim yang semakin mencabar, Malaysia perlu mengambil peluang untuk mengarusperdanakan teknologi ini demi membina masa depan yang lebih pintar, selamat dan mampan. Persoalannya wajarkah kita membiarkan AI mengawal dan mengimbas masa depan kita? Tepuk dada tanyalah minda.
Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom
Penyelidik Utama
Pusat Penyelidikan Pengurusan Infrastruktur Lestari dan Alam Sekitar (CSIEM)
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Berita Harian (muka surat: 12), 2 Mei 2025: Teknologi AI, imbasan 3D jadikan industri pembinaan lebih lestari
2. Berita Harian (bharian.com.my), 2 Mei 2025: Teknologi AI, imbasan 3D jadikan industri pembinaan lebih lestari
3. TVBerita.co.id (tvberita.co.id), 7 Mei 2025: Pemindaian 3D Berbasis AI Menggerakkan Pemantauan Risiko Bencana Konstruksi dan Lokasi Konstruksi Cerdas oleh Prof. Madya Dr. Md Asrul Nasid Masrom, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), UTHM dan Dr. Ir. Uus Mohammad Darul Fadli, Universitas Buana Perjuangan (UBP), Karawang, Indonesia