“Wanita Beraspirasi Membina Legasi” telah diumumkan sebagai tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 oleh Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 22 Januari 2025 yang lalu. Beliau dalam ucapannya turut menyeru masyarakat supaya meraikan peranan dan sumbangan wanita dengan penuh penghormatan dan penghargaan. Uniknya kali ini sambutan Hari Wanita Antarabangsa turut disambut pada bulan Ramadan.

Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan peluang untuk meningkatkan ibadah. Sebuah hadis dengan jelas menerangkan bahawa ganjaran besar menanti kita semua yang memanfaatkan bulan Ramadan dengan penuh keikhlasan. Sabda Rasulullah SAW:

Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu. – Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Bagi kaum wanita, bulan ini juga membawa cabaran lain untuk menyeimbangkan antara ibadah berpuasa dan tanggungjawab harian.

 

Rancang masa dengan efektif

Perancangan masa adalah kunci untuk memastikan semua tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik. Umum maklum bahawa kaum wanita sama ada yang bekerjaya atau suri rumah sepenuh masa mempunyai jadual yang padat. Justeru, kaum wanita boleh membuat jadual harian yang menggabungkan waktu untuk ibadah, kerja dan tanggungjawab keluarga. Contohnya, merancang waktu untuk solat tarawih, membaca al-Quran dan menyediakan makanan untuk sahur dan iftar serta mengurus keperluan ahli keluarga dengan teratur. Sebenarnya kaum wanita mempunyai peluang yang besar untuk merebut ganjaran berpuasa semasa mengurus rumah tangga. Tugas mengurus rumah lebih baik lagi dilakukan sambil melakukan ibadah seperti berzikir, beristighfar dan membasahi lidah dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang lazim dan yang telah dihafal. Perbanyakkan istighfar tatkala merasa lelah dalam mengejar masa untuk menyelesaikan tanggungjawab harian.

 

Makanan yang seimbang

Pemakanan yang seimbang dan berkhasiat adalah penting untuk memastikan tubuh kekal bertenaga sepanjang hari. Wanita perlu memastikan mereka mengambil makanan yang kaya dengan nutrien semasa sahur dan iftar untuk kekal bertenaga walaupun berpuasa. Elakkan makanan yang terlalu berminyak atau sejuk dan manis yang boleh menyebabkan keletihan. Antara cabaran lain ketika berpuasa ialah ketika tiba waktu berbuka. Kadang kala, usai bekerja seharian, dalam perjalanan pulang ke rumah kita singgah ke bazar Ramadan. Dugaan mengawal nafsu menahan boros membeli pelbagai juadah berbuka yang akhirnya akan disumbat ke tong sampah sangat perlu dijaga. Bersederhana dalam memilih makanan yang sihat untuk berbuka puasa perlu diutamakan. Kaum wanita merupakan contoh kepada isi rumah. Jadilah contoh yang baik supaya dalam masa yang sama kita dapat mendidik anak-anak dan seisi rumah supaya tidak boros berbelanja mengikut nafsu. Contohilah Rasulullah SAW yang amat bersederhana ketika berbuka puasa;

Nabi berbuka puasa dengan kurma rutab sebelum solat. Dan sekiranya tiada rutab, maka dengan tamar. Dan jika tiada, meminumlah beberapa teguk air. – Hadis riwayat Abu Dawud, Ahmad dan al-Tirmizi.

 

Pengurusan tenaga

Menguruskan tenaga dengan bijak adalah penting untuk memastikan kaum wanita dapat menjalankan tanggungjawab harian mereka tanpa merasa terlalu letih. Kaum wanita juga perlu memikirkan tentang keadaan diri sendiri. Kata-kata yang menyebut mereka umpama cuaca, jika mendung mereka, maka mendung jugalah seisi rumah. Justeru, kaum wanita harus bijak mengatur masa termasuk mengambil rehat yang cukup dan tidak terlalu memaksa diri. Aktiviti fizikal ringan seperti berjalan kaki juga boleh membantu mengekalkan tenaga. Juga selain itu, luangkan sedikit masa untuk ‘me time’ walaupun dalam bulan Ramadan dengan aktiviti bermanfaat yang digemari seperti menyertai kumpulan tadarus al-Quran mahupun tazkirah. Ini akan membantu mereka merasa lebih tenang dan fokus dalam menjalani ibadah dan tanggungjawab harian serta menjaga kesejahteraan emosi dan mental.

 

Sokongan Keluarga

Sokongan daripada ahli keluarga adalah penting untuk membantu wanita menyeimbangkan antara ibadah dan tanggungjawab harian. Ahli keluarga boleh membantu dengan tugas-tugas rumah tangga atau menjaga anak-anak, ia membolehkan kaum wanita mempunyai lebih banyak masa untuk beribadah. Anak-anak yang sudah meningkat dewasa perlu memainkan peranan dalam giliran menjaga dan menyediakan aktiviti untuk adik-adiknya ketika mana ayah sibuk bekerja. Tidak menunggu untuk disuruh, tetapi mengambil inisiatif untuk melakukan tugas yang diperlukan. Ini termasuklah memerhatikan keadaan sekeliling dan mengenal pasti apa yang perlu dilakukan, seperti mengemas ruang tamu yang bersepah, mencuci pinggan yang bertimbun di sinki selepas waktu sahur dan berbuka, atau menyiram tanaman yang kelihatan layu. Dengan mengambil langkah proaktif ini, anda dapat meringankan beban ibu dan memastikan rumah sentiasa dalam keadaan teratur. Selain itu, sikap ini menunjukkan bahawa anda prihatin dan bertanggungjawab terhadap kebersihan dan kesejahteraan keluarga, serta menghargai usaha ibu dalam menjaga rumah tangga. Sikap ini juga dapat mendidik adik-adik untuk turut serta dalam membantu dan bekerjasama, menjadikan suasana rumah lebih harmonis dan menyenangkan. hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

 Kebersihan itu sebahagian daripada iman – Hadis Riwayat Muslim

 

Fokus pada kualiti ibadah

Kualiti ibadah adalah lebih penting daripada kuantiti. Lisan adalah yang paling utama perlu dijaga ketika kita berpuasa. Selain menahan diri daripada lapar dan dahaga kita sebagai kaum wanita perlu menghindari lisan daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak elok, maki hamun, dan mengumpat. Pada zaman teknologi serba canggih sebenarnya lisan dan jari memainkan fungsi yang sama. Bukan sahaja percakapan yang perlu dijaga, malah jari juga perlu dikawal daripada menyebarkan tohmahan, kecaman melalui komen-komen yang diturunkan melalui media sosial. Kaum wanita perlu lebih fokus pada ibadah yang berkualiti seperti solat dengan khusyuk, membaca al-Quran dengan tadabbur, dan berdoa dengan penuh penghayatan. Ini akan membantu mereka merasakan keberkatan Ramadan walaupun dengan jadual yang sibuk seharian. Selain itu, kita juga boleh memperbanyakkan zikir dan beristighfar, serta melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan seperti memberi sedekah dan membantu orang lain. Tatkala kita sibuk menyiapkan juadah berbuka di dapur, alangkah baiknya jika kita dapat menyumbangkan sebahagian daripada makanan tersebut. Dengan cara ini, mereka dapat memanfaatkan setiap saat dalam bulan Ramadan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan meraih pahala yang berlipat ganda. Penting juga untuk menjaga niat dan keikhlasan dalam setiap ibadah yang dilakukan, kerana Allah menilai amalan berdasarkan niat dan keikhlasan hati. Dengan fokus pada kualiti ibadah, wanita dapat merasakan ketenangan dan kebahagiaan yang sebenar dalam menjalani bulan yang penuh keberkatan ini.

 

Ramadan adalah masa yang penuh dengan peluang untuk memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ramadan umpama ladang subur untuk menanam benih pahala. Seperti mana seseorang petani yang berusaha keras menanam dan merawat tanamannya untuk mendapatkan hasil yang banyak dan subur. Muslimat juga sepatutnya merebut peluang untuk mengumpul sebanyak mungkin pahala di bulan Ramadan. Bagi kaum wanita, cabaran untuk menyeimbangkan antara ibadah dan tanggungjawab harian adalah sesuatu yang realistik, namun dengan perancangan yang teliti, pengurusan masa yang baik, dan sokongan daripada keluarga, ia dapat dihadapi dengan tenang. Mengutamakan kualiti ibadah dan menjaga niat yang ikhlas juga akan membantu wanita meraih keberkatan dan ketenangan dalam bulan yang mulia ini. Semoga setiap usaha yang dilakukan mendapat ganjaran yang berlipat ganda dan membawa kebahagiaan serta kesejahteraan kepada diri dan keluarga. Selamat hari wanita sedunia dan semoga Ramadan kali ini menjadi yang terbaik buat kita semua.

 

 

 

Nurulisyazila Othaman

Guru bahasa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)