Timbalan Menteri Pendidikan II, Yang Berhormat P. Kamalanathan telah menyempurnakan Malam Anugerah dan Pelancaran Alumni Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 2 Mei lalu.

Program anjuran Sekretariat Perpaduan Biro Kebudayaan Mahasiswa India UTHM dengan kerjasama Putera MIC, Kelab Rotary Batu Pahat selaku penaja utama ini diadakan bertujuan untuk melancarkan suatu platform bagi graduan institusi berkomunikasi serta saling membantu antara satu sama lain secara intelektual disamping mendorong semangat mereka untuk menceburi pelbagai bidang.

Majlis Anugerah dan Alumni ini juga diadakan bagi menghargai pelajar-pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Antara anugerah yang telah diberi adalah anugerah sukan, anugerah akademik dan anugerah kepimpinan. Selain itu, pelancaran Alumni dalam kalangan pelajar India bagi semua institusi utama peringkat negeri Johor turut diadakan pada malam tersebut.

Seramai 250 orang hadirin termasuk para pelajar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Institut Perguruan Tun Hussein Onn Batu Pahat Johor (IPTHO), Institut PerguruanTemenggung Ibrahim( IPTI ), Politeknik Ibrahim Sultan
( PIS ) dan masyarakat setempat hadir memeriahkan malam tersebut.

Turut hadir, Dr. Kamil Abdullah selaku wakil rasmi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Ahli Dewan Undangan Negeri Tenggaroh, Yang Berhormat Raven Kumar; Pengarah Operasi Cubit, Encik Saravanan dan Penyelaras Putera MIC negeri Johor, Encik Sugan.

Majlis dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik seperti persembahan nyanyian, tarian tradisional India dan persembahan dari IPTHO.