Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim, Ts. Dr. Abd Fathul Hakim Zulkifli, Mohamed Ihsan Sabri Mohamed Nazar
Seramai 15 pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) setelah berjaya menamatkan program Asas Menservis Penyaman Udara Kenderaan anjuran Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Chembong (IKTBNCB).
Kesemua pelajar tahun akhir program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dengan pengkhususan Automotif itu menerima sijil tahap 2 yang menunjukkan mereka mempunyai dan menguasai kemahiran asas yang diperlukan untuk menservis penyaman udara kenderaan.
Program itu bertujuan untuk memberikan pengetahuan dan kemahiran asas dalam penyelenggaraan sistem penyaman udara kenderaan, yang merupakan salah satu komponen penting dalam industri automotif.
Untuk rekod, program itu telah dijalankan selama satu minggu, bermula dari 30 September hingga 5 Oktober 2024, yang merangkumi sesi teori dan amali yang dijalankan di bilik kuliah dan bengkel.
Sepanjang tempoh program, para pelajar telah diajar dengan asas-asas dan teori penyaman udara kenderaan berserta komponen sistem yang ada, pemeriksaan sistem, cuci dan periksa serta pemasangan komponen penyaman udara, prosedur pengecasan gas dan diagnosis sistem.
Manakala pada akhir program, para pelajar telah diuji dengan beberapa sesi penilaian pengetahuan teori dan pelaksanaan prestasi.
Menurut penyelaras program, Ts. Dr. Abd. Fathul Hakim, program itu diiktiraf oleh JPK, yang memastikan bahawa kurikulum dan latihan yang diberikan memenuhi piawaian industri.
“Para pelajar UTHM telah menunjukkan komitmen dan prestasi yang cemerlang sepanjang program dijalankan.
“Mereka bukan sahaja berjaya menguasai teori, malah mahir dalam amali yang melibatkan pemeriksaan, penyelenggaraan dan pembaikan sistem penyaman udara kenderaan.
“Kejayaan ini adalah hasil daripada dedikasi dan komitmen mereka serta bimbingan yang berkesan daripada tenaga pengajar yang berpengalaman,” katanya.
Pengiktirafan tersebut telah mendorong para pelajar untuk lebih bersedia menghadapi cabaran dalam industri automotif, khususnya dalam bidang penyaman udara kenderaan.