PUTRAJAYA – Dua pelajar tahun empat Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Perkhidmatan Bangunan), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) iatu Muhammad Haziq Fitri Hairul dan Awang Ismail Mohamed berjaya meraih Naib Johan dalam pertandingan MT-X2 Startup Pitching (Kategori Belia) ketika menyertai Malaysian Techlympics 2024 yang diadakan di Putrajaya pada 17 hingga 19 November lalu.

Program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu telah mempamerkan keberanian dan kesungguhan pelajar dalam mempertandingkan projek bertajuk “Pendigitalan Pengurusan Aset dengan Integrasi 7D BIM ke Power BI.”

Mereka membawa pulang hadiah bernilai RM1 ribu berserta sijil penghargaan.

Projek yang mengintegrasikan Building Information Modelling (BIM) dengan aplikasi Power BI bagi memantau data-data aset Pengurusan Fasiliti di Blok A, UTHM Kampus Pagoh itu telah divalidasi oleh Sime Darby Properties Selatan (SDPS) dan dipercayai berpeluang tinggi untuk dikomersialkan pada masa akan datang.

Kejayaan itu juga hasil bimbingan Ketua Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam, Ir. Ts. Dr. Mohd Kamaruzaman Musa, Ts. Dr. Mohd Syafiq Syazwan Mustafa dan Syarikat AI Revit Works Studio.

Dr. Kamaruzaman turut mengucapkan tahniah kepada dua pelajar tersebut kerana berjaya memahami setiap pelajaran dan mengaplikasikan kemahiran dalam inovasi demi menambah baik sistem dan amalan semasa industri bangunan masa kini.

“Pihak kami turut mengucapkan terima kasih kepada Pusat Teknousahawan Universiti (PTU), Pengurusan FTK, UTHM dan semua yang terlibat dalam menyokong kejayaan para pelajar ini,” katanya.