Oleh Ts. Dr. Tuan Noor Hasanah Tuan Ismail

PAGOH – Bagi memberi peluang kepada pelajar program sarjana muda mendekati pakar daripada industri, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program “Sustainable Construction Innovation Competition (SCIC) 2024 @ FTK” pada 8 Januari 2024 lalu bertempat di Kolej Kediaman Pagoh.

Program anjuran Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam yang dibantu oleh Pusat Tekno Keusahawanan UTHM dan Professional industry training & certification (PITC), FTK itu dianjurkan bagi menyediakan satu platform untuk pelajar mendapat pandangan dan idea pakar industri terhadap inovasi projek yang dihasilkan, sekali gus memastikan program yang ditawarkan memenuhi keperluan industri.

Penganjuran program SCIC kali kedua itu telah membuka peluang kepada 125 pelajar sarjana muda dalam pembentangan Projek Sarjana Muda (PSM), Projek Kursus Mekanik Tanah dan Asas serta Kursus Penyiasatan Tapak.

Pelaksanaan program kali ini turut mendapat sumbangan daripada Syarikat Hertford System iaitu sebuah syarikat teknologi yang berpengalaman dalam bidang teknologi perisian dan pembangunan infrastruktur di Malaysia.

Program itu juga turut melibatkan 31 Panel Penilai Industri yang terdiri daripada pelbagai organisasi antaranya Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran Muar, Politeknik Port Dickson, Petronas, Penang Infrastructure Cooperation, Hetford System, Thai Guan Construction, Bina Initiatives, Fibromat (M) Berhad, Sime Darby Property Selatan, Utec Survey Pte Ltd, T. P. Tay Jurutera Perunding, Majlis Perbandaran Selayang, Ranhill SAJ, SWMEnvironment dan Sri Pengkalan Binaan.

Sementara itu, Majlis Perasmian Penutupan SCIC2024 @ FTK telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Pengurusan Geran Penyelidikan), Pusat Pengurusan Penyelidikan, UTHM, Prof. Madya Ts. Dr. Suraya Hani Adnan.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian 11 anugerah yang telah dinilai oleh panel industri dan panel akademi, antaranya Anugerah Projek Terbaik, Pembentangan Terbaik dan Anugerah Penglibatan Industri bagi Kluster SOIL dan SI.

Manakala bagi Kluster PSM pelajar pula melibatkan anugerah Pembentangan Terbaik, Poster Terbaik, Kertas Teknikal Terbaik, Anugerah Penglibatan Industri dan Anugerah SCIC.

Menurut penasihat program, Ts. Dr. Tuan Noor Hasanah Tuan Ismail, SCIC bukan sekadar pertandingan inovasi tetapi juga tentang inisiatif membantu pembangunan pelajar dalam menangani cabaran industri sebenar.

“Penganjuran program ini bukan sahaja mampu menjadi batu loncatan bagi kecemerlangan akademik, tetapi juga laluan kepada pelajar untuk berinteraksi secara terus dengan pihak industri serta melibatkan diri dalam dunia industri sebenar,” katanya.

 

Pemenang keseluruhan Klster SOIL: Best Soil Project, Best Presentation dan Synergy-Industry Engagements Award.
Penerima SCIC Award dan Best Poster.