Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT – Kannan A/l Nachiappan, graduan Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik dan Siti Nurlina Noor Azmi, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) semasa berlangsungnya Sidang Satu, Istiadat Konvokesyen UTHM ke-23 pada 2 Disember 2023.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Pro-Canselor UTHM, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.
Menurut Kannan yang kini menyambung pengajian peringkat sarjana di UTHM, dia berasa lega kerana berjaya merealisasikan hasrat ibunya yang inginkan dia menyambung pelajaran di universiti awam.
Terdahulu, Kannan yang merupakan pelajar kolej vokasional (KV) sering dihantui dengan kenyataan bahawa pelajar KV mempunyai peluang yang tipis untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Pada tahun 2019 saya memohon kemasukan ke universiti awam melalui Unit Pusat Universiti (UPU) namun kecewa kerana permohonan kali pertama ditolak.
“Berbekalkan semangat juang yang tinggi, akhirnya saya berjaya menempatkan diri di UTHM setelah membuat rayuan kali ketiga,” ujar Kannan.
Sepanjang pengajiannya di UTHM, Kannan mengunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin dan lebih suka belajar dengan nota yang lengkap.
Selain belajar, Kannan juga memegang beberapa jawatan dalam kelab dan persatuan serta turut menyertai pertandingan penyelidikan dan inovasi peringkat antarabangsa sehingga berjaya mendapat anugerah.
“Saya sangat berterima kasih kepada UTHM, para pensyarah, staf, rakan-rakan seperjuangan dan teristimewa sekali pada ibu, nenek dan datuk yang banyak bagi sokongan dan bantuan untuk saya meneruskan perjuangan di sini sehingga tamat,” katanya.
Sementara itu, Siti Nurlina graduan dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pula menyeru kepada bakal graduan agar bijak mengatur langkah dan membahagi masa dalam menghadapi kehidupan di kampus.
Bercerita tentang pengalamannya, Siti Nuralina bergiat aktif sebagai ahli pasukan robotik yang mewakili UTHM dan Malaysia dalam pertandingan robotik peringkat antarabangsa.
Dia bersama pasukannya pernah meraih gelaran juara di Jepun dan Thailand dengan mencipta robot artificial intelligence (AI) yang dikenali sebagai ‘Hussein’ dan ‘Linabot’.
“Walaupun sibuk dengan persiapan menyertai pertandingan, saya nekad untuk terus fokus kepada pelajaran bagi mengekalkan pointer cemerlang setiap semester.
“Saya sentiasa mengingatkan diri saya untuk terus kuat, kerana saya yakin segala usaha pasti membuahkan hasil walaupun dalam jangka waktu yang lama,” katanya.
Berkat doa kedua ibu bapa dan dorongan daripada pensyarah serta rakan-rakan, Siti Nuralina akhirnya dapat mencapai keputusan yang cemerlang dalam pelajaran.
“Setiap hari sebelum ke kelas, saya akan menghantar teks mesej atau menelefon ibu bapa untuk meminta doa supaya dipermudahkan segala urusan pembelajaran dan hal-hal lain.
“Sehingga kini sebelum saya ke tempat kerja, saya akan meminta mereka mendoakan saya dan inilah antara amalan yang saya tidak pernah saya tinggal untuk membuatkan diri berasa tenang,” katanya.
Kedua-dua penerima anugerah ini percaya selain berusaha bersungguh-sungguh dalam menggapai kejayaan, restu dan doa kedua ibu bapa juga penting untuk mencapai keberkatan dalam hidup.