Oleh Noorliyana Omar, Munzilah Md. Rohani

KOTA MASAI – KidSafe Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Pusat Pemanduan Bijak (SDRC), Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dan Senai Desaru Expressway (SDE) telah menganjurkan ‘Program Kidsafe UTHM’ pada 13 September 2023 lalu melibatkan 300 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Masai 2.   

Program yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Munzilah Md Rohani itu diadakan bertujuan untuk menyampaikan ilmu kepada warga sekolah berkaitan keselamatan jalan raya serta kepentingan perkhidmatan pengangkutan awam yang disampaikan oleh PAJ.

Menurut Dr. Munzilah, pihaknya bersama SDE dan PAJ bekerjasama menjayakan program tersebut yang diisi dengan slot ceramah, aktiviti berkumpulan dan juga soalan kuiz, bertujuan menarik minat dan memberi pengetahuan baharu kepada 300 peserta yang terlibat.

”Setiap aktiviti tersebut dikendalikan oleh fasilitator dalam kalangan pelajar UTHM yang diketuai oleh Husna Zakaria dan dibantu oleh alumni Fakulti Kejuruteraan Awam & Alam Sekitar (FKAAB), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Islam Antarbangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Selain itu program yang ditaja oleh SDE dan PAJ ini turut dibantu oleh sukarelawan terdiri daripada kakitangan akademik dan bukan akademik FKAAB dan Fakulti Pendidikan Teknik dan Vokasional (FPTV),” katanya.

Melalui penganjuran program ini, para pelajar juga mendapat maklumat berkaitan perkhidmatan bas percuma dan tip keselamatan di lebuhraya Senai-Desaru.

UTHM berharap pelaksanaan program itu dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan pelajar berkaitan pendidikan keselamatan jalan raya sekali gus membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Semoga usaha ini dapat merapatkan lagi  hubungan antara universiti dan komuniti, dan dapat memberi banyak manfaat kepada mereka yang terlibat,” kata Dr. Munzilah.