Oleh Ts. Dr. Sabariah Musa
Bagi menggalakkan aktiviti penghasilan bahan digital, Pusat Pembelajaran Maya (CVL), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan program khidmat masyarakat “KTP-CSR Infografik Awesome dan Pendigitalan” bersama warga SMK Seri Gading pada 6 Jun dan 12 Julai 2023 lalu.
Program CSR yang dikendalikan oleh 23 staf CVL itu diadakan bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan sekolah menengah, serta untuk memanfaatkan potensi teknologi dalam pendidikan.
Program itu memberi peluang kepada warga SMK Seri Gading untuk mengakses kemudahan dan kepakaran di Studio Fox Mall, Pusat Pembelajaran Maya dalam penghasilan bahan digital yang berkualiti.
Menurut ketua program, Ts. Dr. Sabariah Musa sebelum program itu dilaksanakan majoriti warga sekolah lebih cenderung menggunakan bahan pembelajaran yang sudah sedia ada daripada mencipta bahan baharu.
“Namun melalui program ini, mereka diberikan latihan dan tunjuk ajar untuk menghasilkan bahan pembelajaran yang kreatif dan berinovasi.
“Inisiatif ini sekali gus meningkatkan lagi minat dan penglibatan pelajar dalam menghadapi proses pembelajaran dan pengajaran (PdP),” katanya.
Hasil khidmat nasihat dan lawatan penanda aras ke Studio Fox Mall sebelum itu, pihak sekolah telah mengambil inisiatif membangunkan sendiri satu studio di sekolah terbabit.
Selain itu, pelaksanaan program itu juga didapati dapat memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar SMK Seri Gading.
Mereka diajar untuk memanfaatkan teknologi dan menggunakan aplikasi pembangunan kandungan digital yang disediakan.
Pelajar diberikan pendedahan tentang penghasilan bahan digital yang berkualiti dan boleh digunakan dalam pelbagai aktiviti seperti rakaman sebagai wartawan lokasi, juru acara jemputan, pertandingan drama, projek kumpulan, dan bahan pembelajaran interaktif.
Dengan kebolehan itu, pelajar dapat menghasilkan karya yang menarik dan kreatif, serta dapat berkongsi hasil kerja mereka dengan masyarakat.
Melalui program itu juga, satu pertandingan digital iaitu ‘Pertandingan Infografik dan Video Awesome’ telah dianjurkan khas untuk warga sekolah SMK Seri Gading dan komuniti setempat.
Pertandingan tersebut mendapat sambutan yang sangat baik kerana ia memberi peluang kepada peserta untuk menggunakan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam menghasilkan bahan digital yang berkualiti tinggi.
“Dalam pertandingan ini, peserta berpeluang menunjukkan kreativiti dan kecekapan mereka dalam menggunakan teknologi terkini sekali gus memberi pengalaman berharga kepada mereka dalam membangunkan kemahiran teknologi dan keupayaan menghasilkan bahan digital yang baik,” kata Dr. Sabariah.
Tambah beliau, program khidmat masyarakat itu juga memberi manfaat kepada guru dan pentadbir di SMK Seri Gading.
“Pihak kami dapat melihat perkembangan warga SMK Seri Gading dalam menghasilkan bahan digital dan menggunakan teknologi dalam PdP.
“Guru-guru dapat menggunakan bahan pembelajaran yang dihasilkan untuk meningkatkan pengajaran mereka dan memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan menyeronokkan,” jelas beliau.
Selain itu, program itu juga membuka peluang kolaborasi antara guru SMK Seri Gading dengan pensyarah dan pakar dari CVL UTHM, yang sentiasa mendorong perkongsian pengetahuan dan kepakaran yang ada.
Pihak CVL melahirkan rasa bangga kerana program khidmat masyarakat yang dijalankan itu secara keseluruhannya telah memberikan kesan positif kepada warga SMK Seri Gading.
“Pihak kami berharap penganjuran program seumpama ini akan terus diperluas dan dilaksanakan untuk memberi impak yang positif kepada pelajar dan sekolah-sekolah di seluruh negara,” kata Dr. Sabariah.