Menyuntik motivasi bukan satu pekara yang mudah. Tanpa motivasi dan hala tuju yang jelas kebanyakan daripada kita hanyut dan meredah lautan kehidupan tanpa arah tuju yang jelas. Hanya menurut sahaja badai yang memukul ke kiri dan kanan.
Menyedari hakikat akan peri pentingnya memupuk budaya keilmuan kepada masyarakat kampus amnya dan penghuni kolej kediaman khususnya, Kolej Kediaman Perwira telah menjalankan aktiviti “Perwira Lecture Series” dengan menampilkan ahli akademik dan alumni UTHM untuk berkongsi ilmu serta pengalaman. Terdahulu menerusi edisi 1 dan 2, Ustazah Hajah Shakila Binti Ahmad, Pensyarah Kanan di FSTPi dan Dr Nan bin Mat Sahar, Pensyarah Kanan di FKEE telah masing-masing berkongsi pengalaman berkaitan “Kepimpinan di Kolej Kediaman, Bagaimana Acuannya?” dan “Cerita Dari Negara Matahari Terbit”.
Menariknya, untuk edisi 3 sedikit kelainan ditampilkan dengan dua (2) ikon anak muda alumni UTHM yang kini berjaya mencipta nama dan menjadi inspirasi. Saudara Hafiz Ariffin dan Saudara Zulfadli Rozali ditampilkan secara eksklusif di Dewan Kuliah A, G3 yang berjaya menarik lebih 500 peserta hadir pada 31 Oktober 2013 lalu.
Saudara Hafiz Ariffin yang kini menjawat jawatan sebagai Felo Perdana kepada YAB Perdana Menteri Malaysia bersama Saudara Zulfadli Rozali yang merupakan atlit rowing kebangsaan dengan santai memberi inspirasi bagaimana mereka menjadikan impian suatu realiti. Sesi ini juga telah dikendalikan oleh Saudara Muhamad Ali Bin Hyder Ali, Jawatankuasa Pelajar Kolej Kediaman Perwira.
Berdasarkan maklumbalas yang diterima oleh para peserta yang hadir, mereka sangat teruja dan amat berharap agar aktiviti seperti ini dapat dikembang luaskan ke arah melahirkan lebih ramai bintang dalam kalangan pelajar UTHM. Menariknya juga, program ini merupakan anjuran bersama Kolej Kediaman Perwira, Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan serta Pejabat Kemajuan & Hubungan Alumni.
Antara mesej jelas yang disampaikan oleh dua (2) ikon muda ini ialah untuk berjaya kita perlu berani untuk berbeza serta disiplin diri dan tidak pernah mengalah adalah antara anak kunci kejayaan.