BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kejuruteraan Mekanikal kepada mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (2018-2021), Dato’ Dr. Mohd Sofi Osman ketika berlangsungnya sidang pertama, Istiadat Konvokesyen UTHM ke-22 pada 3 Disember 2022.

Anugerah yang disampaikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku Canselor UTHM itu adalah bagi menghargai sumbangan dan penglibatan beliau dalam bidang akademik, pembangunan universiti dan penyelidikan serta modal insan.

Sepanjang bersama UTHM, Dato’ Sofi telah banyak memberi sumbangan dalam memastikan hala tuju strategik universiti dapat dicapai.

Beliau juga turut membantu universiti menjalinkan hubungan kerjasama yang erat dengan industri agar program yang ditawarkan dan penyelidikan yang dijalankan seiring dengan kehendak pasaran.

Selain di UTHM, Dato’ Sofi juga pernah dilantik sebagai ahli dan kemudiannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis.

Beliau juga turut menyumbang bakti dan kepakaran sebagai Profesor Adjung di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam  dan Universiti Sains Malaysia.

Selain mencurahkan tenaga dan memberikan sumbangan kepada institusi pengajian tinggi, Dato’ Sofi turut aktif berkhidmat kepada komuniti dan industri.

Pengetahuan dan pengalaman luasnya selama berkhidmat di industri melayakkan beliau menjawat beberapa jawatan penting seperti Pengerusi Penang Skill Development Center (PSDC), Ahli Panel Penasihat STEM Pulau Pinang, Presiden Free Industrial Zone Penang Company Association (Frepenca) dan Pengerusi MIMOS Semiconductor Sdn. Bhd.

Sehingga kini, beliau terus memberikan sumbangan sebagai Penasihat kepada Lembaga Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) dan Ahli Lembaga Pengarah, OPPSTAR Berhad.

Mengimbau perjalanan kerjayanya sebelum itu, beliau pernah berkhidmat di syarikat multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat selama 25 tahun dengan pelbagai cabaran dan kejayaan yang dikecapi.

Antaranya beliau diberi kepercayaan untuk mengetuai projek-projek seperti Controlled Collapse Chip Connect (C4) yang bernilai jutaan ringgit dan memfailkan paten dalam penambahbaikan proses pembuatan semikonduktor yang diluluskan oleh US Patent Trade Office.

Beliau turut menerbitkan pelbagai artikel berkaitan projek-projek penambahbaikan berterusan di dalam bidang pembuatan semikonduktor.

Kejayaan Dato’ Sofi dalam melaksanakan projek-projek tersebut turut mendapat pengiktirafan apabila beliau dianugerahkan ‘Spirit of Success Award’ dan ‘President Award’ yang merupakan anugerah tertinggi untuk staf yang berkhidmat di Advanced Micro Devices (AMD).

Komitmen yang tinggi terhadap kerjaya dan kebolehan yang dimiliki telah membuka laluan untuk beliau memegang jawatan Pengarah Urusan merangkap Naib Presiden AMD Pulau Pinang pada usia muda iaitu ketika berumur 40 tahun.

Dato’ Sofi turut dilantik sebagai Pengarah Urusan dan Naib Presiden di Altera Corporation pada Januari 2012 dan diberi tanggungjawab untuk menerajui operasi dan kejuruteraan bagi rantau Asia Pasifik.

Manakala pada tahun 2015, beliau telah menyertai Intel sebelum mengambil keputusan untuk bersara setelah hampir 30 tahun membina kerjaya dalam industri semikonduktor.

Namun dengan ilmu dan pengalaman yang dimiliki, banyak pihak dari industri terus berminat untuk mendapatkan khidmat beliau.

Selepas dua tahun bersara, Dato’ Sofi akhirnya kembali semula ke industri pada Oktober 2018 dan diberi kepercayaan untuk menggalas jawatan sebagai Naib Presiden dan Pengarah Urusan Lumileds Malaysia sehingga Jun 2020.

Kecemerlangan Dato’ Sofi dalam bidang kejuruteraan dan ketokohan beliau dalam bidang korporat melayakkan beliau dianugerahkan ijazah kehormat Doktor Falsafah Kejuruteraan Mekanikal.