BATU PAHAT – Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Wahid Razzaly, mantan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) tahun 2017-2022 menerima gelaran Profesor Emeritus semasa berlangsungnya Istiadat Konvokesyen UTHM kali ke-22 pada 3 November 2022.

Anugerah yang disampaikan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku Canselor UTHM pada sidang pertama istiadat konvokesyen itu bagi menghargai sumbangan beliau kepada universiti dan negara terutama dalam bidang teknologi, kejuruteraan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Sepanjang Datuk Wahid menerajui UTHM, beliau telah memperkenalkan tagline “UTHM Produces Professionals” yang menjadi sinergi kepada UTHM sebagai universiti teknikal berorientasikan industri dan lebih ‘hands on.’

Tagline tersebut digunakan bagi memastikan bukan sahaja profesional yang dilahirkan mencukupi, malah berkemahiran tinggi sesuai dengan keperluan industri.

Menyedari pentingnya transformasi pengurusan dan pendidikan norma baharu, beliau telah memperkenalkan empat paradigma baharu yang perlu dihayati dan dilaksanakan oleh warganya iaitu kaedah pengajaran dan pembelajaran norma baharu, pemerkasaan pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET), penggunaan aplikasi DNA GRITT kepada graduan UTHM serta pembentukan ekosistem technopreneur dalam kalangan warga kampus.

Beliau amat menekankan peluang yang berkaitan dengan ‘Digital TVET Transformation’ untuk memastikan UTHM menjadi peneraju utama bidang berkaitan pada masa hadapan.

Sementara itu, Datuk Wahid juga merupakan tunjang utama dalam penubuhan Metro System Academy (MSA), yang ditubuhkan dengan kerjasama MRT Corp bagi memperkasa bidang teknologi dan kejuruteraan pengangkutan rel.

Beliau juga memainkan peranan yang penting dalam inisiatif pembangunan Lapangan Terbang Tanjung Laboh sebagai kampus penerbangan bersepadu.

Di samping itu, beliau juga dilihat sangat mendukung tinggi pelbagai usaha yang dijalankan oleh Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ) UTHM dalam melahirkan modal insan yang kompeten dan berintegriti berpaksikan paradigma tauhid.

Di peringkat kebangsaan, Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Wahid terlibat dalam pelbagai projek penyelidikan termasuklah kajian-kajian berkaitan keselamatan jalan raya di Malaysia, pembangunan softskill TVET, Recognition of Prior Learning (RPL); Problem Based Learning (PBL), Production Based Education (PBE) serta Penarafan dan Pemeringkatan Program TVET Malaysia.

Beliau merupakan individu penting yang telah menyediakan cadangan artikulasi program TVET Negara ke MTUN sehingga berjaya membuka laluan pelajar Diploma Vokasional Malaysia (DVM) di Kolej Vokasional (KV) meneruskan pengajian ke MTUN melalui program Sarjana Muda Teknologi (BTech).

Selain itu, beliau juga merupakan perintis kepada program artikulasi program TVET Politeknik Malaysia bagi menggalakkan graduan politeknik meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana Muda Teknologi (BTech) di Malaysian Technical University Network (MTUN).

Kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang pendidikan dan TVET telah diiktiraf dengan perlantikan beliau sebagai Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pembangunan TVET Negara serta ahli Executive Council Majlis TVET Negara.

Kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang TVET turut diperakui di peringkat antarabangsa apabila terpilih beliau mengetuai projek konsultasi berkaitan TVET iaitu The Restructuring of the Vocational Training Corporation, sebuah projek di bawah Kementerian Buruh Jordan yang dibiayai oleh Bank Dunia, selain dilantik sebagai Pengerusi Asia TVET Expert Network (ATEN), Pengerusi Asia TVET Experts Forum (ATEF) dan Timbalan Presiden Asia Technological University Network (ATU-NET).

Datuk Wahid merupakan individu yang sangat kompeten dalam bidang teknologi dan kejuruteraan sehingga diberi pengiktirafan sebagai Teknologis Profesional (Ts.) dan Jurutera Profesional (Ir.).

Manakala pada tahun 2019, beliau telah dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, yang membawa gelaran Datuk.

Bermula April 2022, beliau telah bersara wajib dan kini meneruskan khidmat baktinya di UTHM sebagai Pensyarah Sanjung di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional.