Berita Harian, 29 April 2022
Di Malaysia, pejalan kaki adalah golongan ketiga tertinggi terbabit dengan kemalangan maut. Berdasarkan fakta itu, keselamatan pejalan kaki seharusnya menjadi keutamaan. Hal ini boleh dilihat apabila kerajaan menyediakan pelbagai infrastruktur misalnya lintasan belang, lorong pejalan kaki, jejantas dan lintasan pejalan kaki berlampu isyarat.
Semua prasarana ini disediakan bagi memenuhi keperluan dan keselesaan pengguna, dan paling penting ia dapat menjamin keselamatan, terutama bagi golongan kurang upaya ketika melintas jalan.
Namun, apa yang dikesalkan kemudahan ini tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat Malaysia. Misalnya walaupun ada laluan pejalan kaki untuk menyeberang jalan, masih ada pengguna yang lebih suka melintasi jalan raya yang sibuk.
Tambah menakutkan ada di antara pejalan kaki melintas jalan bersama kanak-kanak di kawasan yang berisiko dengan keadaan trafik banyak, walaupun terdapat jejantas disediakan di lokasi berhampiran. Antara alasan mereka, adalah kedudukan jejantas jauh, terlalu tinggi atau tidak menghala ke tempat yang dituju.
Alasan sebegini mencerminkan mentaliti masyarakat terhadap kemudahan awam dan risiko kemalangan adalah masih rendah. Bukan setakat itu, sikap pejalan kaki yang kurang memberi tumpuan dan mengambil endah mengenai keselamatan sendiri sebenarnya turut berisiko menjejaskan orang lain.
Selain itu, tindakan pemandu kenderaan yang cenderung untuk memecut laju di jalan raya juga boleh menyebabkan risiko kemalangan kepada pejalan kaki. Misalnya, di lokasi sibuk yang tiada kemudahan jejantas, orang ramai tidak punya banyak pilihan melainkan melintasi jalan raya untuk menyeberang. Apabila kadar aliran trafik meningkat, jurang selamat atau ruang masa antara ketibaan kenderaan di tempat pejalan kaki boleh melintas jalan dengan selamat semakin berkurang. Ini menyebabkan lebih banyak masa menunggu diperlukan sebelum dapat melintasi jalan.
Bagi yang mementingkan keselamatan, mereka akan menunggu saat paling selamat untuk melintas. Bagaimanapun, kepada yang tidak sabar kadang kala mereka sanggup menggadaikan nyawa melintas jalan. Mereka mengambil risiko dalam jurang masa yang singkat dan sanggup berdiri di tengah-tengah jalan untuk melintas. Pada ketika ini, keselamatan diri bukan lagi jaminan, sama ada mereka selamat melintas jalan atau terbabit dalam kemalangan tidak lagi diperhitungkan.
Sebab itulah lintasan pejalan kaki harus digunakan. Penyediaan laluan pejalan kaki penting kerana ia bukan sahaja membantu meningkatkan keselamatan pengguna, malah dapat melancarkan pergerakan manusia dan juga aliran kenderaan di atas jalan raya. Ia juga sekali gus dapat menjamin keselesaan orang ramai bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Sebagai pengguna jalan raya, alangkah baik mempraktikkan pembelajaran keselamatan jalan raya yang dipelajari ketika di sekolah. Begitu juga latihan yang diterima di institusi pemanduan ketika proses untuk mendapatkan lesen memandu.
Pengguna jalan yang bijak akan sentiasa mengambil perhatian dengan peraturan asas jalan raya seperti penggunaan lintasan pejalan kaki, papan tanda dan simbol ketika berada di jalan raya untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. Ini termasuk tidak menyalahgunakan prasarana yang disediakan untuk golongan berisiko seperti pejalan kaki. Apabila setiap pengguna mengetahui dan sentiasa bertanggungjawab terhadap keselamatan ketika di jalan raya, risiko kemalangan, sekali gus dapat dikurangkan.
Soal keselamatan ini adalah hak dan tanggungjawab masing-masing, sama ada pejalan kaki atau pengguna jalan raya lain. Kepada pejalan kaki, manfaatkanlah lintasan pejalan kaki ini untuk menjamin keselamatan diri. Kesedaran terhadap keselamatan ketika di jalan raya, mampu mengurangkan risiko kemalangan.
Profesor Madya Munzilah Md Rohani, Nurul Atiqah Osman dan Nurulain Nordin,
Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia