BATU PAHAT, 10 Mei 2022 – Pasukan Penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai Dr. Indera Syahrul Mat Radzuan berjaya mengenal pasti 25 tapak sejarah dan budaya yang berpotensi sebagai aset warisan dan penanda tempat bagi program Jejak Warisan di Batu Pahat, Johor.

Penemuan itu hasil pelaksanaan projek “Kajian Potensi Pembangunan Kawasan Jejak Warisan (Heritage Trail) di Bandar Penggaram, Batu Pahat, Johor” di bawah geran yang diperuntukkan bagi Program Impak Sosial Masyarakat (PRISM), melalui inisiatif Pejabat Hubungan Industri dan Masyarakat, UTHM.

Menurut Dr. Indera, Batu Pahat masih belum mempunyai profil pemetaan kawasan jejak warisan (heritage trail) yang komprehensif sepertimana yang terdapat di bandar-bandar bersejarah lain di Malaysia.

“Dengan pengenalpastian 25 tapak-tapak sejarah dan budaya ini, projek berorientasikan masyarakat ini telah berjaya mendokumentasi dan memprofil setiap aset-aset sejarah tersebut melalui penghasilan peta kawasan jejak warisan yang mengandungi diskripsi bagi setiap tapak dengan lingkungan radius 15 kilometer dari pusat bandar,” katanya.

Titik pertama Jejak Warisan Batu Pahat ini bermula dari bangunan Kelab Jepun Lama yang didirikan pada 1925, iaitu sebuah bangunan tiga tingkat yang menjadi mercu tanda paling ikonik bagi Bandar Penggaram sebagai sebuah bandar pelabuhan.

Antara tapak-tapak lain yang tersenarai termasuklah rumah-rumah ibadat, deretan rumah kedai, pasar, bangunan milik kerajaan dan swasta, sekolah, monumen, rumah api sehinggalah kepada bangunan tinggalan (relic).

Titik ke-25 yang merupakan plot terakhir Jejak Warisan Batu Pahat ini ialah Perigi Batu Pahat yang merupakan sebuah tinggalan perigi batu purba yang dipahat oleh tentera Siam setelah tewas dalam peperangan menyerang Melaka semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah I (1446-1459 Masihi).

Perigi yang berusia lebih lapan abad itu dinamakan sebagai Perigi Batu Pahat, sekali gus merupakan peninggalan sejarah tertua yang masih wujud di Kuala Sungai Batu Pahat.

Tambah Dr. Indera, kajian yang bermula pada Julai 2021 ini mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk disiapkan.

“Idea projek ini pada mulanya telah dicetuskan oleh pasukan gerak kerja yang dikenali sebagai Edutourism@UTHM yang telah dibentuk di peringkat universiti sejak tahun 2020.

“Pasukan kajian ini dianggotai oleh sembilan penyelidik iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Seow Ta Wee, Prof. Madya Dr. Md Asrul Nasid Masrom, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Sulzakimin Mohamed, Dr. Chandrashekar A/L Ramasamy, Sr. Zarina Shamsudin dan Sr. Masfaliza Mohsen dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Ts. Dr. Yusmarwati Yusof, Mohd Akmal Rohiat dan Raden Mohd Farhan Helmy Raden Ismail dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional serta seorang penyelidik dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA, Dr. Nor Hisham Md Saman dan dibantu oleh pembantu kerja lapangan (PKL), Mohammad Faris Salihin Md Noor,” katanya.

Sebelum itu, beberapa siri mesyuarat kumpulan fokus (FGD) secara maya telah diadakan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi di peringkat persekutuan, negeri dan daerah, pihak swasta, NGO serta wakil komuniti bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap potensi Bandar Batu Pahat yang juga dikenali sebagai “Bandar Penggaram” sebagai kawasan yang unik daripada aspek ekonomi, sosio-budaya dan alam sekitar.

“Antara pihak yang terlibat memberi input dalam kajian ini termasuklah Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Pejabat Daerah Batu Pahat, Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Batu Pahat, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, Tourism Johor, Pertubuhan ICOMOS Malaysia, Think City, Majlis Pemandu-pemandu Pelancong Malaysia (MTGC), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta sekolah-sekolah terpilih di sekitar Bandar Penggaram.

“Kajian ini juga telah berjaya mewujudkan satu struktur kerjasama yang lebih kukuh khususnya di antara universiti dengan pihak-pihak berkepentingan.

“Selain itu, projek ini juga mengguna pakai kuasa libat urus komuniti yang mana setiap pihak berkepentingan dilibatkan dalam proses kajian,” katanya lagi.

Satu laman web khas juga telah dibangunkan oleh Dr. Indera bagi merekodkan semua maklumat berkaitan tapak-tapak sejarah dan budaya di Bandar Penggaram dengan tujuan untuk merangsang inovasi baharu dalam bidang pelancongan, sejarah, warisan dan budaya tempatan melalui perkongsian maklumat berasaskan teknologi ICT.

Pengenalpastian aset-aset warisan yang terhasil daripada kajian ini adalah merupakan manifestasi sejarah yang harus dipertahankan melalui penggemblengan usaha secara bersepadu antara pelbagai pihak termasuklah universiti, agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

 

Bangunan Kelab Jepun Lama (1925) merupakan sebuah bangunan tiga tingkat dengan 15 unit rumah kedai dan struktur gazebo di atas bumbung yang menjadi mercu tanda penting kepada pelayar Sg. Batu Pahat bahawa mereka telah mendekati kawasan Bandar Penggaram.

Deretan rumah kedai di Jalan Ibrahim di dalam zon warisan Bandar Penggaram, Batu Pahat yang telah melalui proses pemuliharaan pada tahun 2021 hasil inisiatif oleh pihak MPBP dengan penggunaan papan tanda dan tulisan teks nama kedai yang seragam memberi kesan karakter imej bandar yang menarik.

Motif arca dinding berbentuk haiwan pada deretan rumah kedai di Jalan Pasar adalah unik dan boleh dianggap sebagai ‘genius loci’ (genius of a place) hasil kebijaksanaan pengukir dan jurubina bangunan pada zaman itu.

Surau India Muslim Selatan yang dibina sekitar 1943 dengan gaya seni bina selatan India jelas kelihatan pada 4 tiang menara dengan kubah berbentuk potong bawang.

Berita ini juga telah diterbitkan dalam :

1. sinarbestari.sinarharian.com, 12 Mei 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/buletin/uthm-kenal-pasti-25-tapak-sejarah-dan-budaya-berpotensi-sebagai-aset-warisan-batu-pahat/