Oleh Ahmad Hamdan Ariffin

ISTANBUL, 13 Mac 2022 – Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan program mobiliti staf ke Altinbas University, Turki melalui geran ERASMUS K 107 pada 6 hingga 13 Mac lalu.

Program mobiliti berkenaan melibatkan tiga staf iaitu Dr. Ahmad Hamdan Ariffin selaku ketua delegasi, Dekan FKMP, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Bukhari Manshoor dan Dr. Reazul Haq Abdul Haq.

Menurut Dr. Ahmad Hamdan, program ini diadakan bertujuan untuk memberi latihan dan meningkatkan kemahiran staf dalam pengajaran, penyelidikan dan pembangunan universiti sekali gus mempromosi UTHM di peringkat antarabangsa.

Tambah beliau, pelbagai pengisian telah disediakan oleh Altinbas University termasuk lawatan fasiliti, perbincangan teknologi penyelidikan, program dual degree antara dua universiti, program silang budaya dan perbincangan berkaitan Summer Program di UTHM.

Turut diadakan, program Malaysia Day yang bertujuan berkongsi maklumat tentang Malaysia dan UTHM bagi menarik minat pelajar Altinbas University untuk menyertai program perpindahan pelajar atau mobiliti antarabangsa.

Pertemuan bersama Dekan School of Engineering and Natural Sciences, Altinbas University telah membawa kepada persetujuan melihat potensi pelaksanaan kelas atau seminar dalam talian melibatkan peserta dari seluruh negara.

Kedua-dua pihak mencapai persetujuan melaksanakan program Summer Camp di Altinbas University melibatkan pelajar UTHM untuk tahun 2022 dan di kampus UTHM pada tahun 2023.

“Saya mewakili delegasi mobiliti ingin merakamkan terima kasih kepada Jabatan Mobiliti Antarabangsa, Pejabat Antarabangsa UTHM, Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, UTHM serta Pejabat Penerbit yang telah membantu menjayakan program ini secara tidak langsung,” katanya.