Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 6 Dis 2025 – Presiden Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF), Tan Sri Dato’ Soh Thian Lai telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Teknik dan Vokasional oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sempena Istiadat Konvokesyen ke-25 universiti itu, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa beliau dalam memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan industri negara.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani yang juga Pro Canselor UTHM pada hari pertama istiadat yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Penganugerahan tersebut bagi menghargai sumbangan beliau sebagai Profesor Adjung Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) sejak 2021, yang mana beliau aktif dalam sesi libat urus industri, penggubalan kurikulum dan forum pembangunan TVET.

Tan Sri Soh, yang dilahirkan pada 16 Februari 1961 di Segari, Perak, membesar dalam keluarga sederhana yang menekankan nilai kerja keras, integriti dan disiplin. 

Beliau memulakan pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Pei Min sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Dato’ Idris Shah dan seterusnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sam Tet, Ipoh. 

Beliau memperoleh Diploma Teknologi (Kejuruteraan Bahan) dari Kolej Tunku Abdul Rahman pada 1985, Ijazah Pengurusan dari Malaysian Institute of Management pada 1991, dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Bath, United Kingdom pada 1994.

Dalam kerjaya profesionalnya, Tan Sri Soh dikenali sebagai tokoh industri yang berwibawa. 

Sejak 2012, beliau menerajui Malaysian Iron & Steel Industry Federation (MISIF) sebagai Presiden dan turut memegang jawatan penting seperti Presiden Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), serta Pengerusi Government-Industry TVET Coordination Body (GITC). 

Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Malaysia Qualification Agency (MQA) dan Majlis Sains Negara.

Sebagai Pengerusi GITC dan anggota Jawatankuasa Kabinet Pemerkasaan TVET (JKKPTVET), beliau memainkan peranan penting dalam menyatukan kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan, serta memacu transformasi landskap TVET negara. 

Di peringkat serantau, beliau aktif dalam ASEAN Manufacturing Network, East Asia Business Council (EABC) dan Jawatankuasa Kerjasama Industri RCEP.

Tan Sri Soh sebelum ini telah menerima beberapa darjah kebesaran termasuk Panglima Setia Mahkota (PSM) dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), sebagai pengiktirafan terhadap jasa beliau dalam pembangunan industri dan pendidikan negara.

Anugerah Ijazah Kehormat ini mencerminkan komitmen UTHM dalam menghargai tokoh yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan modal insan dan kemajuan negara melalui bidang TVET.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1.  Nanyang Siang Pau (page: A2), 7 December 2025: 博 誉 荣 育 教 职 技 膺 来 添 苏 

 

2. Nanyang Siang Pau (enanyang.my), 7 December 2025:: 苏添来膺技职教育荣誉博士

https://www.enanyang.my/news/20251206/Finance/1094266