Oleh Ts. Dr. Sabariah Musa

KLUANG – Warga emas dan komuniti setempat berpeluang mengenali seni tanaman hidroponik berasaskan tenaga solar yang lebih mesra alam, moden dan lestari melalui penganjuran program ‘KTP-CSR Tenaga Diperbaharui: Pemasangan dan Latihan Kemahiran Sistem Hidroponik Solar’ yang diadakan pada 9 September 2025 lalu bertempat di Masjid Al Ikram, Taman Sri Kluang.

Program anjuran Pusat Pembelajaran Maya dengan kerjasama Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu turut disertai staf dan pelajarnya bagi menjayakan sesi yang bermanfaat itu.

Menurut pengarah program, Ts. Dr. Sabariah Musa, program itu bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan antara UTHM dan masyarakat setempat, malah turut membawa pendekatan terapi melalui seni tanaman hidroponik kepada golongan warga emas.

“Aktiviti menanam seumpama ini dapat membantu meningkatkan kesihatan fizikal dan rohani, di samping mengurangkan tekanan serta menggalakkan gaya hidup sihat.

Terdahulu, pihak penganjur turut mengadakan aktiviti ‘Maya walk with Community’ iaitu slot berjalan santai bagi meningkatkan kecergasan selain menjadi medium mesra untuk mengeratkan lagi hubungan antara pihak universiti dan komuniti.

Sebagai simbolik, pihak penganjur turut menyumbangkan set lengkap sistem hidroponik solar kepada Masjid Al Ikram.

“Sumbangan itu diharap dapat dimanfaatkan oleh jemaah masjid sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha kelestarian alam dan kesejahteraan masyarakat,” tambah Dr. Sabariah.

Sementara itu, Haji Malik Ibrahim, 60 salah seorang peserta menyatakan rasa teruja kerana berpeluang menyertai latihan itu.

“Saya gembira dapat belajar tentang tanaman hidroponik ini kerana ia mudah dikendalikan, malah boleh menjadi aktiviti riadah harian kami yang sudah bersara,” katanya.

UTHM berharap dengan penganjuran program seumpama itu, hubungan baik antara universiti dan masyarakat terus diperkukuh, selain menyumbang ke arah pembangunan komuniti berpengetahuan dan sejahtera.