Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 16 Oktober 2025 – Bersempena 100 hari Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali menjalankan amanah dan tanggungjawabnya sebagai Naib Canselor yang keenam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), beliau menitipkan beberapa amanat untuk perhatian dan tindakan warga kampus.

Dalam Majlis Amanat Naib Canselor: 100 hari NC Melakar Langkah, Prof. Mas Fawzi meluahkan hasrat untuk terus komited memperkasakan warga kampus melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik bagi menyelesaikan isu-isu seperti kenaikan pangkat, kekurangan staf dan kesejahteraan warga kampus.

Dalam usaha memperbaiki proses kenaikan pangkat, UTHM telah menubuhkan satu taskforce khas untuk menambah baik kriteria serta memastikan tanggungjawab staf diambil kira secara adil.

Isu kekurangan staf yang dilihat sebagai cabaran global turut diberi perhatian melalui pemanfaatan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan peningkatan kompetensi staf menerusi latihan serta pendedahan antarabangsa.

UTHM juga prihatin terhadap masalah stres dan burnout dalam kalangan staf dengan melaksanakan program Kampus Edu-Tourism, geran khas CQI, serta penyesuaian program akademik.

Tambahan pula, kesejahteraan warga kampus diperkasa melalui aktiviti bulanan yang merangkumi aspek fizikal, mental dan rohani, selain inisiatif kendiri oleh kelab staf dan pelajar.

Prof. Mas Fawzi menegaskan bahawa strategi-strategi itu diharap dapat mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif, menyokong pembangunan modal insan yang holistik serta memperkukuh kecemerlangan universiti.

Pada masa yang sama, Prof. Mas Fawzi di bawah kepimpinannya turut meletakkan visi yang jelas untuk tahun 2030 iaitu menjadi ‘Universiti Unggul dalam Teknologi Lestari dan Pengangkutan.’

Menjelang 2030, UTHM digambarkan sebagai sebuah universiti yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan, tetapi juga menonjol dalam pengurusan yang cekap, kampus yang kondusif dan selamat, serta ekonomi yang berkembang pesat.

Kesejahteraan warganya turut diutamakan dengan menanam nilai amanah, profesionalisme dan inovasi sebagai budaya kerja utama.

Naib Canselor turut menekankan bahawa graduan UTHM pada 2030 akan dilahirkan sebagai individu yang kompeten, berakhlak mulia dan memiliki keupayaan kepimpinan, selaras dengan keperluan negara dan pasaran global.

“Dengan komitmen berterusan dan pendekatan inovatif, UTHM bukan sahaja mampu memacu kecemerlangan akademik tetapi juga membina komuniti kampus yang sejahtera dan produktif, selaras dengan aspirasi menjadi universiti bertaraf dunia,” katanya.

Dalam menyokong aspirasi universiti menjadi Global Technopreneur University menjelang 2030, Prof. Mas Fawzi turut menyeru seluruh warga UTHM untuk menghayati peranan masing-masing dalam merealisasikan visi tersebut.

“Aspirasi ini menuntut bukan hanya perubahan struktur dan sistem, tetapi juga perubahan minda.

Kita perlu menjadi universiti yang berfokus global, berdaya saing tinggi dan melahirkan teknousahawan yang mampu mencipta pekerjaan, bukan hanya mencari pekerjaan,” katanya.

Terdahulu, Prof. Mas Fawzi bersama warga kampus telah menyertai aktiviti brisk walk ‘Must Move With VC’ sejauh tiga kilometer di sekitar kawasan kampus sebagai simbol usaha ke arah gaya hidup sihat dan kesejahteraan komuniti universiti.

Program anjuran Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat (PPKK) dengan kerjasama Unit Integriti (UI) dan Pusat Sukan Kebudayaan UTHM (PSKU) itu bertujuan untuk memupuk budaya sihat, mempererat hubungan silaturahim serta menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dalam kalangan staf dan pelajar.