Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 29 Sept 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus menjadi pilihan pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi dan setaraf apabila menerima seramai 2658 pelajar baharu bagi program pengajian sarjana muda untuk sesi akademik 2025/2026.

Jumlah pendaftaran hari pertama yang berlangsung pada 28 September itu melibatkan 1935 pelajar di kampus induk, manakala 723 lagi di kampus cawangan Pagoh.

Berdasarkan statistik, sejumlah 1525 orang adalah pelajar lelaki, manakala 1133 orang lagi merupakan pelajar perempuan.

Jumlah itu dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa sehingga tamat tempoh pendaftaran.

Proses pendaftaran yang berlangsung secara fizikal di kedua-dua kampus itu disambut dengan semangat keterujaan dalam kalangan pelajar dan ibu bapa yang hadir dari seluruh negara.

Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali dan beberapa pegawai kanan universiti turut hadir menyambut kedatangan mereka sebagai tanda penghargaan kepada semua pelajar dan waris atas kepercayaan memilih UTHM sebagai destinasi pengajian tinggi.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar yang terpilih dan berharap mereka dapat menyahut cabaran menjadi individu yang cemerlang dengan memberi sepenuh tumpuan kepada pembelajaran.

“Pihak kami komited untuk menyediakan pendidikan berkualiti tinggi serta persekitaran pembelajaran yang menyokong kepada pembangunan holistik pelajar.

“UTHM telah menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan kewangan untuk pelajar termasuk Dana Ihsan, zakat, bantuan makanan melalui program Sabil al-Hikmah dan Food Bank Siswa, pinjaman tanpa faedah, serta peranti digital percuma bagi golongan pelajar yang layak,” katanya.

Sementara itu, Minggu Haluan Siswa (MHS) turut diadakan bagi membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus, memperkenalkan nilai-nilai universiti, serta menyampaikan maklumat penting berkaitan akademik, pentadbiran dan sokongan kebajikan pelajar.

Kemasukan pelajar baharu itu sekali lagi membuktikan daya tarikan UTHM sebagai universiti teknikal unggul yang menekankan pengajaran dan pembelajaran berkualiti tinggi dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi, TVET dan pembangunan lestari, seiring matlamat menjadi Global Technopreneur University menjelang 2030.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 29 September 2025: UTHM terima 2,658 pelajar baharu Program Sarjana Muda 2025/2026

UTHM terima 2,658 pelajar baharu Program Sarjana Muda 2025/2026