Oleh Suriayati Baharom, Prof. Ts. Dr. Elmy Johana Mohamad

BATU PAHAT, 26 Sept 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) secara berterusan menawarkan kursus yang mempunyai nilai pasaran tinggi serta menyokong keperluan pembangunan negara.

Langkah ini penting bagi memastikan graduan yang dilahirkan bukan sahaja relevan dengan perkembangan semasa, tetapi turut menyumbang kepada hala tuju pembangunan negara.

Di UTHM, penawaran program akademik telah dirangka agar selari dengan keperluan industri semasa dan masa hadapan, sejajar dengan aspirasi National Industrial Master Plan (NIMP).

Inisiatif itu juga dilaksanakan bagi memastikan kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) UTHM kekal melebihi 95 peratus setiap tahun.

Bidang tumpuan UTHM ialah pengangkutan dan teknologi kelestarian, selari dengan aspirasi untuk menjadi peneraju dalam pembangunan teknologi yang mampan dan relevan dengan keperluan semasa.

Kedua-dua bidang ini memperkukuh peranan UTHM sebagai universiti teknikal yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi.

Selaras dengan hala tujunya iaitu menjadi sebuah Global Technopreneur University, UTHM bertekad melahirkan graduan yang kompeten, profesional dan berdaya usahawan.

Graduan ini bukan sahaja dilengkapi kemahiran teknikal, malah dipupuk dengan daya kepimpinan, inovasi dan semangat keusahawanan (GRITT) yang mampu mencipta peluang baharu dalam industri.

Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali berkata kursus-kursus yang ditawarkan direka untuk membina modal insan yang berdaya saing, selari dengan tuntutan industri global.

“UTHM komited untuk menjadi institusi yang melahirkan generasi teknousahawan yang mampu memacu ekonomi negara serta meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih tinggi dalam lanskap industri dunia,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kurikulum di universiti ini sentiasa melalui proses semakan dan penambahbaikan bagi memastikan kesesuaiannya dengan keperluan industri.

“Kami sentiasa menekankan keseimbangan antara teori, amali dan nilai keusahawanan agar graduan UTHM bukan sahaja bersedia untuk bekerja, tetapi juga berpotensi mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain.

“Selain itu, semua program akademik perdana di UTHM merangkumi pengajian peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan pascasiswazah turut mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya.

Selain itu, UTHM terus memperkukuh kolaborasi dengan industri tempatan dan antarabangsa bagi memastikan setiap kursus yang ditawarkan kekal relevan serta selari dengan keperluan pasaran semasa.

Sebagai contoh, UTHM menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat gergasi seperti Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Microsoft (M) Sdn. Bhd., Top Glove Sdn. Bhd., PROTON Holdings Berhad, Pharmaniaga Berhad dan ATSC Sdn. Bhd. bagi memperkasa bidang akademik, penyelidikan, kompetensi dan kemahiran tinggi pelajarnya.

Dengan penawaran kursus yang berorientasikan pasaran dan berpandangan jauh, UTHM yakin dapat memperkukuh peranan sebagai universiti teknikal yang menyokong agenda transformasi industri dan pembangunan negara.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 26 September 2025: UTHM perkukuh peranan sebagai ‘Global Technopreneur University’

UTHM perkukuh peranan sebagai ‘Global Technopreneur University’