JOHOR BAHRU, 22 Sept 2025 – Sebagai tanda sokongan berterusan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi antara penaja utama bagi menjayakan forum bandar pintar terbesar di Johor, iaitu Johor Smart City Forum (JSCF) 2025 yang membuka tirainya hari ini di Persada Johor International Convention Centre.
UTHM memberi sumbangan bernilai lebih RM1 juta dalam bentuk baucar pendidikan percuma melalui Educity International College (EIC), anak syarikat milik penuh UTHM.
Inisiatif itu bagi menzahirkan komitmen universiti dalam melahirkan modal insan berpengetahuan tinggi bagi menyokong agenda pembangunan bandar pintar Johor.
UTHM turut terlibat secara langsung dalam program forum melalui sesi Tech Talk bertajuk “Smart Campus Initiatives,” yang menekankan peranan universiti dalam mengadaptasi teknologi pintar di kampus sekali gus menjadi model rujukan kepada transformasi bandar pintar.
Dengan tema “Shaping Cities: Empowering Communities,” forum yang menghimpunkan lebih 15,000 pengunjung itu dianjurkan oleh PLANMalaysia Johor dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, industri, komuniti serta akademia.
Tahun ini, tumpuan diberikan kepada usaha menghubungkan inovasi teknologi dengan keperluan masyarakat, seiring dengan aspirasi menjadikan Johor sebagai Smart State 2030.
Pada masa yang sama, Johor Business School (JBS) turut mempromosikan program akademik dalam bidang kepimpinan, strategi dan pengurusan yang sejajar dengan aspirasi pembangunan bandar pintar.
Turut diketengahkan, pelbagai program akademik lain di bawah bidang tumpuan UTHM, iaitu Sustainable Technology and Transportation, yang merangkumi aspek kelestarian, teknologi hijau, mobiliti pintar serta infrastruktur mampan.
JSCF 2025 menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk Smart City Leadership Forum bersama tokoh antarabangsa, pameran teknologi dan inovasi, pertandingan robotik, serta penyampaian Johor Smart City Awards 2025.
Forum itu turut menyaksikan penyertaan pelbagai pihak berkuasa tempatan, syarikat teknologi, universiti dan agensi serantau, antaranya IRDA, UTHM, UTM, SIRIM, Proton, Esri Malaysia serta Jakarta Smart City.
Untuk rekod, JSCF 2025 adalah kesinambungan daripada kejayaan JSCF 2023 dan Johor Smart City Day 2024, dan kali ini forum tersebut diangkat ke tahap lebih tinggi dengan penglibatan peserta dari seluruh ASEAN termasuk Korea, China, Singapura dan Indonesia.
Dengan jangkaan kehadiran ribuan peserta, forum itu bukan sekadar medan perbincangan, malah berperanan sebagai platform strategik untuk mengukuhkan kerjasama antara kerajaan, industri dan komuniti.
Ia juga menjadi simbol usaha kolektif menjadikan Johor sebuah negeri pintar yang inklusif, mampan dan berdaya saing menjelang 2030.


