Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 10 September 2025 – Sambutan penutup Bulan Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia Peringkat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) disemarakkan dengan pelbagai pengisian menarik yang mengetengahkan kepelbagaian budaya, bahasa dan jati diri nasional dalam kalangan warga kampus.
Bertemakan ‘Citra Malaysia,’ majlis penutup yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim (DSI), kampus induk itu turut diselarikan dengan Sambutan Ulang Tahun UTHM Ke-32 yang disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali
Menariknya kali ini, sambutan diisi dengan sesi “Borak Santai: ‘Dialek Kita, Jiwa Kita” yang menyuntik elemen kebudayaan melalui perkongsian kepelbagaian dialek tempatan bagi mencerminkan keunikan masyarakat Malaysia.
Seramai enam ahli panel terdiri daripada staf universiti yang mewakili negeri Kelantan, Kedah, Sabah, Johor dan Jawa Johor berkongsi dialek daerah masing-masing, sekali gus mencuri perhatian penonton yang hadir.
Dalam majlis yang sama,
turut diadakan bagi mempamerkan busana tradisional sebagai simbol kebersamaan dan hormat-menghormati dalam masyarakat majmuk.
Majlis sambutan turut dimeriahkan dengan deklamasi puisi patriotisme bertajuk “Milik Siapakah Tanah Ini?” dan lagu-lagu patriotik seperti “Jalur Gemilang”, “Tanggal 31 Ogos 1957” dan “Keranamu Malaysia” yang dinyanyikan secara beramai-ramai.
Sementara itu, Naib Canselor dalam ucapannya menyeru warga kampus untuk memperkukuhkan perpaduan dan kefahaman terhadap sejarah negara selari dengan semangat Malaysia MADANI.
“Saya menyeru seluruh warga UTHM untuk menjadikan sambutan Bulan Kebangsaan ke-68 ini sebagai satu titik tolak untuk kita memperkukuh perpaduan dan rasa cinta kepada tanah air.
“Ini kerana perpaduan adalah asas kekuatan sesebuah negara; apabila kita bersatu hati tanpa mengira perbezaan; kemajuan dan keharmonian pasti dapat dikecapi bersama.
“Semoga tema Malaysia Madani – Rakyat Disantuni menjadi panduan dan ilham dalam setiap tindakan kita sebagai warga universiti,” ujar beliau.
Turut diadakan, Pameran Citra Rasa Antarabangsa kendalian pelajar antarabangsa yang memperkenalkan makanan dan budaya dari beberapa negara.
Untuk rekod, bermula awal Ogos lalu pelbagai program menarik telah berjaya dianjurkan antaranya Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat, Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Konvoi Jalur Gemilang, Jejak Sejarah di Bukit Kepong, Perasmian Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat UTHM, Brisk Walk Merdeka UTHM bersama Naib Canselor, Forum Patriotisme dalam Era Digital serta pameran berkaitan sejarah dan sumbangan alumni.
Pelaksanaan majlis hari ini yang dihadiri kira-kira 1000 staf menjadi simbolik penutup kepada siri program sempena Sambutan Bulan Kebangsaan ke-68 peringkat universiti.







