KUCHING – Dua pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Muhammad Faisal Ahmad Juhari dan Nur Fatirah Ainun Mohd Anuar telah terpilih mewakili universiti menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana (HADR) Sarawak 2025 yang berlangsung pada 3 hingga 9 September 2025 lalu di Kuching, Sarawak.

Misi tersebut menghimpunkan seramai 84 pelajar dan kakitangan dari 20 universiti awam (UA) seluruh negara, sekali gus menjadikannya salah satu inisiatif khidmat sosial terbesar yang dianjurkan oleh Majlis Kesukarelawanan Universiti Awam Malaysia (MASKUM) dan Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Penganjuran misi itu turut mendapat sokongan penajaan dan kerjasama daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS), TalentCorp, Telekom Malaysia, EM Impex Ventures, Lightgreen Enterprise, Bintong Express, Pusat WEZAS UPSI serta Yayasan UMPSA.

Menurut Ketua Jabatan Nilai dan Kesukarelawanan Pelajar, Pusat Pembangunan Pelajar (PBP), Dr. Radzi Ambar, misi itu bertujuan memupuk sikap prihatin terhadap masyarakat yang memerlukan, di samping membentuk mahasiswa berjiwa kepimpinan, kesukarelawanan dan berpegang teguh pada nilai kemanusiaan melalui aktiviti lapangan dan pemindahan ilmu.

Tambah beliau, penyertaan pelajar UTHM dalam misi HADR mampu mengukuhkan lagi semangat kesukarelawanan, kepimpinan dan setiakawan, sekali gus menjadi inspirasi untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara.

“Program ini juga dapat melahirkan mahasiswa ber-DNA GRITT yang cemerlang akademik, berjiwa sukarelawan serta berperanan sebagai agen perubahan sosial,” katanya.

Majlis pelepasan (flag-off) misi telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Ahmad Rizal Adnan pada 4 September lalu bertempat di Kolej Rafflesia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Pada peringkat awal, peserta misi mengikuti bengkel simulasi bencana dan latihan kecemasan anjuran APM Sarawak, merangkumi dasar pengurusan bencana, pengurusan pusat pemindahan serta peranan badan sukarela yang dikongsi Kor SISPA UNIMAS.

Manakala aktiviti khidmat sosial pula dilaksanakan di Kampung Muhibbah, Seberang Pending, Kuching, melibatkan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong membersihkan kawasan kampung dan pemasangan lima unit lampu solar sumbangan UniMAP.

Selain itu, aktiviti servis motosikal percuma yang diselaraskan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan sokongan sukarelawan UTHM dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut dilaksanakan.

Lebih membanggakan, dua sukarelawan UTHM menunjukkan dedikasi tinggi dengan terlibat secara langsung dalam perkhidmatan servis motosikal percuma yang meliputi penukaran minyak enjin, pencucuh api serta pelarasan rantai motosikal.

Pemeriksaan kesihatan percuma juga telah diadakan diketuai pakar perubatan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang mana penduduk berpeluang menerima pemeriksaan kesihatan, konsultasi percuma serta latihan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR).

Aktiviti pemindahan ilmu juga telah diadakan oleh sukarelawan, termasuk terapi seni untuk kanak-kanak, kelas menjahit dan memasak hidangan tradisi semenanjung serta kenduri rakyat bersama komuniti sebagai penutup tirai.

Peserta misi juga berpeluang mengikuti lawatan budaya ke lokasi ikonik Sarawak seperti Borneo Cultural Museum, Fort Margherita dan kilang kek lapis Warisan, sekali gus memberi pendedahan tentang sejarah, seni dan budaya tempatan.