Oleh Prof. Madya Dr. Nurmiza Othman

KOTA SAMARAHAN – Sebagai usaha membentuk mahasiswa yang seimbang dan berdaya saing, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menganjurkan program ‘IET On Campus Sarawak Nexus 2025’ pada 26 hingga 29 Julai 2025 lalu.

Bertemakan “Holistic Students Empowerment through Networking, Knowledge Sharing, and Leadership Program, program itu memfokuskan kepada pemerkasaan mahasiswa secara holistik melalui nilai HUSSEIN-GRITT iaitu Global, Resilience, Innovative, Trustworthy dan Talent, yang menjadi tunjang kepada pembentukan DNA Kecemerlangan Mahasiswa UTHM.

Program itu disertai oleh 85 pelajar dari UTHM, UNIMAS, Swinburne University of Technology, Universiti Teknologi Sarawak, Politeknik Kuching, SMK Muara Tuang dan SMK Kota Samarahan.

Mereka turut dibimbing oleh para pensyarah UTHM selaku penasihat kelab termasuklah Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, UTHM, Prof. Ts. Dr. Asmarashid Ponniran.

Antara aktiviti utama termasuk program Program Corporate Social Responsibility (CSR) di Empangan Bengoh, dengan kerjasama Kandung Homestay, melibatkan kerja-kerja membaik pulih laluan dan kemudahan awam, sesi perkongsian ilmu oleh wakil industri dari Bakun Hydro Power Generation Sdn. Bhd. bertajuk “Bakun Hydropower – Significant Energy Contributor in Sarawak Energy Generation Mix”, STEM Genius Challenge bertemakan “Bridge to Future”, melibatkan cabaran reka bentuk kejuruteraan, serta seminar dan latihan praktikal teknologi solar, yang memberi pendedahan berkaitan tenaga boleh diperbaharui.

Sementara itu, majlis perasmian program pula telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UNIMAS,  Prof. Ir. Ts. Dr. Al-Khalid Othman.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTHM, Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq sebagai tanda sokongan kukuh kedua-dua institusi terhadap pembangunan mahasiswa berteraskan nilai global dan berdaya tahan.

Pelaksanaan kesemua aktiviti itu dirangka secara inklusif untuk memperkukuh nilai GRITT, di samping memperluas jaringan global, membina daya tahan melalui pengalaman lapangan, mencetus idea inovatif, memupuk integriti kepimpinan, serta menyerlahkan bakat dan potensi kepimpinan pelajar.

Penganjuran program itu juga telah mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak seperti IEM-SAFE UNIMAS Student Section, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UTHM, Pusat Pengajian Diploma UTHM, Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) UTHM , Sekretariat Institut Jurutera Malaysia (SIEM) UTHM, Pejabat Antarabangsa UTHM, Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC) UTHM serta Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia.

Penganjuran IET On Campus Sarawak Nexus 2025 membuktikan bahawa sinergi antara universiti, industri dan komuniti mampu memperluas jaringan pendidikan dan membentuk pelajar berdaya saing, beretika dan seimbang.

Nilai-nilai GRITT yang diterapkan sepanjang program itu telah diterjemahkan secara langsung bukan sahaja kepada semua pelajar UTHM, malah turut diterapkan kepada peserta lain melalui pengalaman lapangan dan penglibatan aktif peserta, sejajar dengan aspirasi pembangunan mahasiswa unggul dalam kerangka pendidikan tinggi masa kini.