Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 21 Ogos 2025 – Bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga kampus, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program “Must Move with VC: Brisk Walk Merdeka Madani Warga Disantuni” dengan berjalan mengelilingi kampus, lalu membentuk logo Malaysia Madani di trek laluan.
Logo Malaysia Madani yang terbentuk boleh dilihat melalui penggunaan jam pintar dan aplikasi seperti ‘Strava’ yang merekod trek perjalanan.
Program anjuran Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat (PPKK) yang berbentuk santai dan sihat itu melibatkan penyertaan staf dan pelajar UTHM, dengan berpakaian bertemakan ‘Jalur Gemilang’ sebagai simbol kebersamaan dan cinta kepada negara.
Program dimulakan dengan sesi regangan ringan sebelum berlangsungnya aktiviti brisk walk sejauh lebih tiga kilometer bersama Naib Canselor, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali.
Menutup acara, Naib Canselor turut menyampaikan ucapan ringkas serta menyerahkan bendera kepada Ketua Kontinjen Kejohanan Karnival Sukan Jabatan Bendahari MTUN Kali ke-4 Tahun 2025, sebagai simbolik sokongan dan semangat juang sukan warga universiti.
Beliau dalam ucapannya berkata program itu bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi satu manifestasi komitmen universiti dalam memupuk budaya kesihatan, kesejahteraan dan keseimbangan hidup yang holistik dalam kalangan warga kerja.
“Saya percaya, kesihatan fizikal turut menyumbang kepada kesihatan mental, emosi dan produktiviti kerja, makanya pelaksanaan program secara bersiri ini diharapkan dapat menjadi amalan berterusan dan bukan sekadar aktiviti bermusim,” katanya.
Pelaksanaan program sebegitu bukan sahaja bertujuan memperkukuh gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus, malah menjadi medium penyatuan dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-68 dengan penuh semangat Malaysia Madani.



