BATU PAHAT, 7 Ogos 2025 – Seramai 108 pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya ditauliahkan sebagai BIM Modeler menerusi Program BIM Proficiency Accreditation – Modelling of Structure, yang diiktiraf oleh myBIM Centre, CIDB Malaysia.

Program intensif itu telah dilaksanakan dalam empat siri sepanjang Julai hingga Ogos 2025, bertempat di Makmal Komputer BIM, FKAAB, dengan fokus kepada latihan praktikal dalam kemahiran pemodelan struktur menggunakan perisian Autodesk Revit.

Kesemua peserta terbabit telah lulus penilaian akhir yang ditetapkan, sekali gus melayakkan mereka menerima Sijil BIM Modeler.

Program itu dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga pengajar bertauliah, yang diketuai oleh Ir. Dr. Mohammad Soffi Md Noh, Trainer TTT myBIM Centre merangkap penyelaras program.

Beliau turut dibantu oleh pengajar utama, Khairy Burhanudin dan Profesor Madya Ir. Dr. Shahrul Niza Mokhatar, serta tiga fasilitator iaitu Isham Ismail, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Norwati Jamaluddin dan Ir. Dr. Sallehuddin Shah Ayop.

Menurut Dr. Mohammad Soffi, penganjuran program itu antara inisiatif strategik fakulti dalam menyediakan graduan yang bukan sahaja kompeten secara teknikal, tetapi juga berdaya saing dalam industri pembinaan masa kini.

“Penguasaan teknologi BIM kini menjadi antara keperluan utama dalam landskap pembinaan moden.

“Kemahiran ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah mempersiapkan mereka menghadapi cabaran transformasi digital dalam industri,” katanya.

Penganjuran program ini turut memperkukuh komitmen FKAAB dalam mendukung aspirasi universiti serta menyokong hasrat nasional untuk melahirkan jurutera berkemahiran tinggi, inovatif dan mampu menyumbang secara langsung kepada pembangunan infrastruktur negara, sejajar dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030).