Oleh Norhaslini Abd Alim, Junko Hiyama,Ts. Dr. Nor Azizi Yusoff

JEPUN – Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama kumpulan penyelidik Research and Innovation in Culture and Heritage of Johor (RICHER) telah melaksanakan Program Pengantarabangsaan Sejarah Johor di Jepun pada 5 hingga 9 Julai 2025 lalu bagi tujuan penandaarasan dan kolaborasi strategik dengan beberapa institusi.

Menurut Ketua Pustakawan PTTA,  Zaharah Abd Samad yang juga ketua delegasi, program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif antarabangsa Projek RICHER bagi memartabatkan sejarah Johor ke peringkat global, selain merancakkan lagi Program Pelancongan Pendidikan (Edu-Tourism) di UTHM  dan sokongan universiti terhadap Tahun Melawat Johor 2026.

Pelepasan delegasi terlibat telah disempurnakan oleh YB Dato’ (Dr.) Haji Nooh Gadot, Ahli Lembaga Pengarah Universiti pada 2 Julai 2025 bertempat di Galeri Gambus Johor, Aras 2, PTTA.

Untuk rekod, UTHM melalui PTTA telah menandatangani Letter of Undertaking (LoU) dengan Rikkyo University, Jepun pada 28 Ogos 2024.

Rentetan daripada LoU tersebut, pada 7 Julai 2025, bertempat di Niiza Library, Rikkyo University telah berlangsung Majlis Perasmian Pameran Sejarah Perlombongan Bijih Besi di Sri Medan dan Sejarah Pertempuran di Parit Sulong yang dijalankan sepanjang bulan Julai 2025 hasil kerjasama PTTA, UTHM dan Rikkyo University serta International Forum on RICHER Project.

Majlis perasmian dan forum antarabangsa itu turut dihadiri Profesor Satoshi Masutani, Department of Cultural Tourism, College of Tourism, Rikkyo University bersama 25 pelajar, serta penyelidik sejarah, Shimada Jun dan Selamat Sainayune.

Delegasi turut mengambil peluang menjelajah ke beberapa institusi terkemuka di negara matahari terbit itu termasuk Science and Technology Museum, Rikkyo University (The Heritage and Future of Rikkyo Exhibition Hall, The Edogawa Ranpo Memorial Center for Popular Culture Studies dan Niiza Library), National Diet Library, International Press-In Association dan Malaysia Tourism Promotion Board.

Pada masa yang sama, sesi bersama Kurator Muzium Tokugawa turut diadakan bagi memperkukuh hubungan bersejarah Kesultanan Johor dan kerajaan Jepun sejak 1883.

Zaharah berkata program itu pastinya memberi inspirasi kepada PTTA dalam pembangunan Projek RICHER khususnya dan galeri pintar umumnya dengan menggunakan pendekatan baharu yang lebih interaktif dan immersive menggunakan teknologi seperti skrin sentuh, simulasi 3D, mini laboratory, animasi visual, paparan garis masa digital dan tayangan naratif dalam memperkukuh strategi komunikasi warisan secara moden dan berkesan.

“Selain dapat meneroka potensi kolaborasi berasaskan pelancongan pendidikan dan diplomasi warisan budaya, ia juga memberi pendedahan kepada delegasi mengenai teknologi terhebat di Jepun termasuk kereta api dan rel, kemudahan parkir basikal serta kereta automatik yang amat efisyen, mesra alam dan selamat,” katanya.

Inisiatif terbaharu UTHM ini telah mengupayakan warisan sejarah Johor ke persada dunia yang berteraskan sains dan teknologi.

Jepun dijadikan contoh unggul dalam inovasi kejuruteraan, sains dan teknologi, selari dengan aspirasi UTHM untuk memperkukuh pengantarabangsaan, memacu industri serta memperkasakan komuniti tempatan.

Program itu sekali gus menyerlahkan peranan UTHM sebagai peneraju dalam pemeliharaan warisan dalam menyokong Tahun Melawat Johor 2026 menerusi pendekatan teknologi Realiti Maya (Virtual Reality – VR) dan Realiti Terimbuh (Augmented Reality – AR) dalam mempromosi Edu-Tourism UTHM dan memperkasa jaringan global.