YOKOSUKA – Tiga kakitangan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dari Pusat Penyelidikan EMCenter, Institut Kejuruteraan Integrasi (I2E) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) telah berjaya menjalani latihan intensif selama empat hari di National Defense Academy (NDA), Jepun pada 1 hingga 4 Julai 2025 lalu.
Delegasi UTHM yang diketuai oleh Prof. Ir. Dr. Fauziahanim Che Seman itu disertai oleh Miskiah Muhamad Ihsan, M. Nazeri Sarmijan dan Mohd Rostam Anuar.
Kakitangan bahagian teknikal itu diberi pendedahan eksklusif berkaitan kaedah pengujian menggunakan peralatan radio frekuensi (RF) berteknologi tinggi merangkumi spektrum frekuensi dari 10 MHz hingga 110 GHz.
Antara fasiliti utama yang digunakan termasuklah Ruang Gelombang Mikro (10 MHz–26.5 GHz), Ruang Gelombang Milimeter (4 GHz–110 GHz) dan Julat Pengukuran Antena Padat (Compact Antenna Measurement Range – CAMR).
Mereka turut diberi tunjuk ajar berkaitan aspek kalibrasi peralatan, penyediaan jig dan pelaksanaan pengujian ke atas prototaip penyelidikan seperti antena MIMO dan reflectarray.
Latihan itu turut melibatkan pengujian ke atas prototaip yang dibangunkan melalui kerjasama penyelidik dari UTHM, Universiti Teknikal Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Menariknya, program latihan yang dianggarkan bernilai ¥250,000 (sekitar RM7,500) itu telah ditawarkan secara percuma hasil jalinan kerjasama strategik antara UTHM dan rakan akademik di Jepun.
Menurut Prof. Fauziahanim, latihan itu merupakan kemuncak kepada tiga siri latihan teknikal yang dirancang bersama Prof. Yoshihide Yamada, Prof. Naobumi Michishita dan Dr. Hiroshi Hashiguchi melalui platform Malaysia-Japan Institute of Technology (MJIIT), UTM Kuala Lumpur serta siri bengkel Malaysia-Japan Workshop on Radio Technology (WJWRT) 2024.
Selain kemahiran teknikal, peserta turut diberi pendedahan kepada budaya kerja Jepun yang terkenal dengan amalan menepati masa, disiplin yang tinggi dan sistematik.
“Pengalaman bekerja bersama warga akademik NDA membuka ruang untuk memahami amalan kerja berpasukan yang unggul, pematuhan keselamatan makmal yang menyeluruh dan pengurusan dokumentasi yang teratur.
“Nilai-nilai ini bukan sahaja memperkukuh etika kerja profesional, malah memberi inspirasi untuk diterapkan dalam sistem kerja dan penyelidikan di UTHM,” katanya.
Latihan itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan teknikal staf sokongan penyelidikan, malah mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antarabangsa dalam bidang teknologi gelombang dan pengujian lanjutan.
Inisiatif itu selaras dengan aspirasi UTHM sebagai universiti teknikal yang berdaya saing global dan peneraju dalam penyelidikan komunikasi dan kejuruteraan frekuensi tinggi.



