PUTRAJAYA, 2 Julai 2025 – Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Nasrull Abdol Rahman dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya memperoleh sijil Psychosocial Trained Person (PTP) daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Malaysia sekali gus diumumkan sebagai penerima Directors Award atas kejayaan cemerlang dalam peperiksaan program tersebut.
Dr. Nasrull telah mengikuti latihan intensif di bawah program PTP JKKP anjuran KGB Local Services & Training Sdn. Bhd. yang memfokuskan kepada aspek psikososial di tempat kerja, iaitu satu komponen penting dalam memastikan kesejahteraan mental dan emosi pekerja.
Hasil kesungguhan dan prestasi luar biasa dalam peperiksaan tersebut, beliau telah dinobatkan sebagai penerima Directors Award, anugerah tertinggi yang diberikan kepada peserta dengan markah tertinggi serta pencapaian keseluruhan terbaik sepanjang program.
Menurut Dr. Nasrull, pengiktirafan itu merupakan satu penghormatan besar dan menjadi motivasi untuk terus menyumbang dalam mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat dan sejahtera di UTHM.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan berterusan daripada pihak pengurusan dan rakan sekerja.
“Ilmu yang diperoleh melalui program ini sangat berharga dalam membantu kami memahami serta menangani isu psikososial yang kian mencabar di tempat kerja,” katanya.
Majlis penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JKKP Malaysia, Ir. Haji Mohd Hatta Zakaria.
Untuk rekod, program PTP JKKP merupakan salah satu inisiatif utama JKKP dalam menangani isu kesejahteraan psikososial di tempat kerja, seiring dengan keperluan semasa dalam mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat dan produktif.

