Oleh Tasiransurini Ab Rahman
BATU PAHAT, 09 Jun 2025 – Bagi meneruskan usaha berkongsi rezeki bersama komuniti, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah turut serta dalam penganjuran Karnival Peduli Komuniti Madani (KAPKOM) 2025 yang diadakan di Kampung Orang Asli Bumiputera Dalam, Rengit bersempena sambutan Aidil Adha 1446H.
Penganjuran KAPKOM bertujuan untuk memupuk semangat kebersamaan, merapatkan ukhuwah dan berkongsi rezeki dengan masyarakat orang asli dan golongan asnaf tempatan.
Karnival tersebut diisi dengan pelbagai program antaranya ibadah korban, rewang bersama penduduk kampung, bengkel SMART solat, demonstrasi sembelihan, pemeriksaan kesihatan umum, saringan kanser wanita, ceramah Kesihatan dan pengedaran daging korban.
Selain itu, para penduduk turut menerima sumbangan 182 set Pek Ceria Raya yang mengandungi 10 kilogram beras dan barangan dapur, dengan jumlah keseluruhan bernilai RM10 ribu.
Menurut Dekan FKEE, Prof. Ts. Dr. Asmarashid Ponniran, Aidiladha mengajar kita erti mensyukuri nikmat dengan berkongsi rezeki dan memberi rasa gembira kepada mereka yang memerlukan.
“Tahun ini merupakan tahun kedua penyertaan FKEE dalam KAPKOM dan pihak kami sangat menghargai pengorbanan masa, tenaga serta wang ringgit oleh para penyumbang, sukarelawan dari pelbagai fakulti di UTHM dan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, majlis perasmian karnival telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Penganjuran KAPKOM melibatkan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti WADAH Negeri Johor, Pusat Tunas Nahdah Batu Pahat, YADIM Negeri Johor, ABIM Batu Pahat, Jawatankuasa Kemajuan (JKK) Kampung Orang Asli Bumiputera Dalam, Rengit, KPIJ Batu Pahat, Kelab Staf FKEE (KsFKEE), Koperasi FKEE dan Kelab Kejuruteraan Elektrik, FKEE.
Untuk rekod, KAPKOM 2025 turut mendapat penajaan daripada Yayasan Taqwa MAIWP, Ahli Parlimen Batu Pahat, YADIM Negeri Johor, YAPEIM Negeri Johor, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Koperasi FKEE UTHM, Pasaraya Ain Evergreen Sdn. Bhd., S Plus Sdn. Bhd., Hayaton Tahir Sdn. Bhd., Farm Fresh Milk Malaysia dan Syarikat Faiza Sdn. Bhd.





