LANGKAWI – Sekumpulan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah bekerjasama dengan Aerospace Technology Systems Corporation (ATSC) bagi membangunkan Prototaip Sistem Debrief Bersepadu (IDS) Generasi Baharu untuk Pesawat Tempur Su-30MKM moden.

Prototaip yang dikenali sebagai ATSC-IDS itu mula dipamerkan di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 sebagai platform analisis pasca-misi generasi baharu yang mampu merevolusi operasi pasca-misi udara.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad kerjasama strategik dua pihak itu membolehkan proses analisis pasca-misi yang dahulunya mengambil masa berjam-jam dipendekkan hanya beberapa minit.

“Juruterbang kini boleh memperoleh maklumat kritikal secara pantas dan efisien,” katanya.

Tambah Prof. Rabiah, aplikasi itu dibangunkan dengan ciri mobiliti dan kepelbagaian sistem operasi bagi membolehkan akses segera kepada data diagnostik melalui tablet, walaupun ketika di lapangan.

“Sokongan penuh pelbagai platform sistem operasi dan peranti mudah alih menjadikan sistem tersebut mesra pengguna dan boleh digunakan di mana-mana sahaja tanpa sekatan platform,” katanya.

Rentetan itu, satu sesi demonstrasi antara UTHM dan ATSC telah diadakan pada 20 Mei 2025 di Langkawi bersempena penganjuran LIMA’25.

ATSC diwakili oleh Lt. Kol Dato’ Haji Mohd Fadzar Suhada TUDM (B), Ketua Pegawai Eksekutif, manakala UTHM diwakili oleh Prof. Madya Dr. Shahreen Kasim dari FSKTM selaku Ketua Perunding pembangunan sistem tersebut.

Hadir sama, Mejar Ashaari Shafie, Chief Operating Officer ATSC; Lt. Kol Pidrus Hasan TUDM (B), Head of Division Operations dan Lt. Kol. Shahril Ameir Ani TUDM (B), Senior Manager Research and Development.

Kepakaran penyelidik UTHM dimanfaatkan sepenuhnya dalam projek tersebut, meliputi bidang kecerdasan buatan untuk penilaian prestasi juruterbang melalui pembelajaran mesin, keselamatan siber bagi pemprosesan fail penerbangan yang disulitkan, serta interaksi manusia-komputer melalui reka bentuk antara muka analisis pasca-misi berasaskan realiti maya.

“Perkongsian erat antara sektor akademik dan industri ini membuktikan bahawa universiti mampu memainkan peranan penting dalam menangani cabaran pertahanan sebenar negara.

“Pasukan penyelidik UTHM berjaya membangunkan algoritma teras yang meningkatkan tahap kepekaan situasi dalam sistem ini,” tambah Prof. Rabiah.