
Oleh Prof. Madya Dr. Nor Shahida Mohd Shah
PAGOH – Seramai 25 pelajar Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai ‘Program Sinar Bakti Siswa Sejati Madani’ selama tiga hari, bermula 2 hingga 4 Mei 2025 di Kampung Selancar, Pagoh pada 4 Mei 2025 lalu.
Program anjuran Exco Korporat dan Jaringan, Majlis Kepimpinan Pelajar KKKP itu bertujuan mengukuhkan hubungan mahasiswa dengan komuniti setempat, menyemai semangat kesukarelawanan serta membina kemahiran insaniah melalui pendekatan keluarga angkat dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Sepanjang program, para peserta tinggal bersama keluarga angkat dan menyertai aktiviti seperti gotong-royong, rewang, memanah, menjahit, lawatan ke ladang kelulut dan penanaman cendawan serta riadah bersama penduduk kampung.
Aktiviti tersebut memberi peluang kepada mahasiswa memahami kehidupan masyarakat luar bandar dan mengaplikasikan nilai kepimpinan, keprihatinan sosial serta integriti sebagai warganegara berjiwa Madani.
Program itu juga merupakan satu inisiatif berteraskan khidmat masyarakat dan pemindahan ilmu yang menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam pembangunan holistik mahasiswa serta tanggungjawab sosial korporat.
Turut diadakan, majlis ‘Kenduri Kampung’ yang meriah dengan persembahan kebudayaan, bertujuan merapatkan lagi hubungan peserta yang terlibat dengan penduduk kampung.
Manakala hari terakhir pula turut dimanfaatkan dengan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) di sekitar kampung melibatkan kerja kebajikan dan khidmat masyarakat.
Pihak KKKP berharap hubungan erat seumpama ini antara UTHM dan komuniti akan terus diperkukuh pada masa akan datang.