
PAGOH – Pusat Pengajian Diploma (CeDs), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalin kerjasama dengan syarikat Viridis Capital Sdn. Bhd. bagi memperkukuh penyelidikan dan pengkomersialan teknologi berkaitan tenaga boleh diperbaharui.
Sebagai simbolik kerjasama, kedua-dua pihak telah menandatangani Letter of Intent (LoI) pada 22 April 2025 lalu bertempat di UTHM Kampus Cawangan Pagoh.
CeDS diwakili oleh Muhammad Hanafi Asril Rajo Mantari dari kumpulan Product Research and Development Group (ProRed), manakala Viridis Capital pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya iaitu Hasan Suyut.
Sesi tersebut turut disaksikan Dekan CeDS, Dr. Muhammad Faizal Ismail serta Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Dr. Noorazizah Sidek.
Menurut Hanafi, loI itu merupakan titik permulaan kepada kerjasama dalam bidang tenaga solar, sistem penyimpanan tenaga (energy storage), serta pembangunan dan pengkomersialan peralatan dan perisian berkaitan tenaga boleh diperbaharui.
“Kolaborasi tersebut dijangka membuka lebih banyak peluang dalam pelaksanaan penyelidikan bersama, pembangunan produk inovatif dan penglibatan pelajar dalam latihan berasaskan industry,” katanya.
Untuk rekod, Viridis Capital Sdn. Bhd. ialah sebuah syarikat pelaburan solar yang diiktiraf sebagai Registered Solar PV Investor (RPVI) oleh Sustainable Energy Development Authority Malaysia (SEDA Malaysia).
Dengan pengalaman meluas dalam pemasangan sistem solar di seluruh Malaysia, syarikat itu telah mencatatkan kapasiti keseluruhan melebihi 110 megawatt (MW).
Kepakaran yang dimiliki menjadikan Viridis Capital rakan industri yang berpotensi tinggi dalam memacu teknologi tenaga boleh diperbaharui ke tahap lebih tinggi.
Tambah Hanafi, kerjasama itu memberi nilai tambah kepada CeDS dalam memperkasa penyelidikan berorientasikan aplikasi serta menyediakan pengalaman pembelajaran berteraskan industri kepada para pelajar.
“Ia juga selari dengan usaha pusat pengajian ini untuk menyumbang secara aktif terhadap pembangunan teknologi mampan yang menyokong hala tuju negara ke arah penggunaan sumber tenaga yang lebih lestari,” katanya.