Oleh Suriayati Baharom

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencatat rekod kecemerlangan apabila berjaya meraih anugerah ‘Best Higher Learning Institutions of the Year’ bagi tahun 2024 oleh Malaysian Society for Non-Destructive Testing (MSNT).

Anugerah itu bakal diterima sempena berlangsungnya acara tahunan ‘Annual General Meeting’ (AGM) bagi MSNT yang ke-36 bertempat di Melati Room, Bangi Resort Hotel, Bangi pada 23 April 2025.

UTHM mengatasi pencalonan daripada beberapa insitusi pengajian tinggi yang lain apabila berjaya memenuhi kriteria pemilihan berdasarkan kursus Non-Destructive Testing (NDT) yang ditawarkan di UTHM, penyertaan di dalam kursus-kursus berkaitan NDT, bilangan staf UTHM yang mempunyai sijil-sijil kompetensi dalam NDT dan lain-lain kriteria yang berkaitan.

Pencapaian itu adalah hasil usaha dan sokongan daripada universiti yang diketuai oleh Ir. Dr. Eliza M. Yusup dan Profesor Madya Ir. Dr. Shahrul Azmir Osman melalui Pusat Industri (COI), Centre of NDT Training & Calibration (CeNDTeC), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP).

“Semoga kemenangan ini akan turut memberi semangat dan dorongan kepada rakan-rakan sekerja yang lain melibatkan diri dalam kursus-kursus kompetensi berkaitan, sekali gus memberi nilai tambah kepada diri dan juga universiti,’ kata Dr. Eliza.