Oleh Ts. Dr. Aida Safina Aridi, Dr. Mohamad Zulhafiz Shafiq Zulhilmi Cheng

SUBANG JAYA – Pelajar pascasiswazah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Khairunnisa Abdhul Muthalib berjaya meraih tempat ketiga (2nd Runner-Up) bagi kategori ‘Postgraduate Research Poster Competition’ ketika menyertai Pertandingan Kebangsaan Sains dan Teknologi Makanan anjuran Malaysian Institute of Food Technology (MIFT) kali ke-14.

Kejayaan itu sekali gus mengangkat nama UTHM antara universiti yang menyerlah dalam penyelidikan berimpak tinggi.

Selain Khairunnisa, tujuh pelajar dari Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) turut mewakili universiti dalam pertandingan tersebut yang diadakan di Taylor’s University, Kampus Lakeside, Selangor pada 11 dan 12 April 2025 lalu.

Pertandingan berprestij yang berlangsung selama dua hari itu telah menghimpunkan pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara dalam bidang Sains dan Teknologi Makanan.

Bagi kategori Undergraduate Food Bowl Quiz, UTHM diwakili oleh empat pelajar tahun dua iaitu Ong Yong Veness, Loh Hui Ying, Aisyah Adani Muhamad Hasyimi dan Bo Wen Tat.

Manakala bagi Undergraduate Oratory Competition, Noor Aliah Ahmad Razi turut menunjukkan bakat dalam pidato ilmiah.

Dua lagi pelajar pascasiswazah (Ph.D) turut membawa nama UTHM dalam kategori penyelidikan iaitu Nur Fazira Abdul Rahim  bagi Oral Postgraduate Research Paper Competition dan Ernna Erynna Mohamad Kahar bagi Postgraduate Research Poster Competition.

Penyertaan mereka turut dibantu oleh dua pensyarah bidang Teknologi Makanan, FAST iaitu Ts. Dr. Aida Safina Aridi dan Dr. Mohamad Zulhafiz Shafiq Zulhilmi Cheng.

Lebih daripada sekadar pertandingan, penyertaan itu telah membuka peluang kepada para pelajar untuk membina rangkaian profesional, memperluas ilmu serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan penyampaian ilmiah.

Ia juga memberi pendedahan langsung kepada perkembangan semasa industri makanan melalui interaksi bersama pakar-pakar industri dan pelajar dari pelbagai latar belakang akademik.

UTHM kekal komited dalam memperkasa pembangunan pelajar secara holistik, melahirkan graduan berkualiti tinggi yang bersedia bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa selaras dengan aspirasi negara dalam bidang pendidikan tinggi dan pembangunan teknologi makanan.