Oleh Prof. Madya Ts. Dr. Siti Amely Jumaat, Maizatul Azrina Yaakob, Mohamad Fadhil Ja’afar
BATU PAHAT – Institut Kejuruteraan Integrasi (I2E), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melancarkan projek UTHM Industry Research Playground bagi membawa matlamat dan gagasan untuk menyatukan dan mengurangkan jurang antara akademia dan pemain industri.
Projek itu merupakan satu platform untuk penyelidik UTHM, khasnya penyelidik dari Pusat Kecemerlangan (CoE) mempamerkan prototaip yang sedia dikomersialkan kepada pemain industri dalam menyelesaikan masalah di lapangan.
Tujuan utamanya adalah bagi memastikan penyelidik dapat menjalankan penyelidikan yang boleh menyelesaikan cabaran industri dengan lebih relevan dan praktikal, serta membantu pihak industri untuk mengenal pasti masalah kritikal yang memerlukan penyelidikan lanjut dengan cara perkongsian kepakaran, teknologi, sumber kewangan inovasi.
Untuk rekod, projek UTHM Industry Playground yang telah diilhamkan oleh Profesor. Ts. Dr. Haji Mohd. Khairul Ahmad, Pengarah, Institut Kejuruteraan Integrasi (I2E) telah dirasmikan oleh Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Naib Canselor UTHM pada 25 Februari 2025 lalu semasa berlangsungnya Majlis Amanat Naib Canselor.
Projek yang diketuai Prof. Madya Ts. Dr. Siti Amely Jumaat itu juga bertujuan untuk menyediakan tapak projek penyelidikan serta ruang pameran bagi produk penyelidikan yang dihasilkan oleh COE, UTHM yang masih berada di fasa Technology Readiness Level (TRL) Tahap 3 untuk ditambah baik hingga mencapai TRL Tahap 6.
Menurut Dr. Siti Amely, projek itu akan menjadi pusat pameran berpusat bagi lawatan pihak luar sama ada pemain industri atau delegasi antarabangsa.
”Selain itu, UTHM Industry Playground juga boleh menjadi batu loncatan kepada sesebuah produk untuk menembusi pasaran luar dan berdaya saing serta menarik minat pelabur luar.
”Pembangunan UTHM Industry Playground itu bakal mempunyai tiga fasa yang merangkumi pembinaan ruang pameran berpusat, virtual UTHM Industry Playround dan Rel-Satelit UTHM.
”Fasa 1 ini dibangunkan di Blok A9 yang merangkumi ruang pameran serta tapak projek tenaga boleh baharu dan pertanian moden,” jelas beliau.
Projek UTHM Industry Playground itu diharap terus berkembang dan dapat meningkatkan lagi visibiliti dan kreadibiliti UTHM selaku universiti rangkaian teknikal di Malaysia (MTUN) yang mampu berkolaborasi rapat dalam menyelesaikan masalah industri secara efektif.

