JOHOR BAHRU, 20 April 2025 – Sekretariat Sukarelawan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (SYKTLJ), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) telah menyantuni 24 pejuang kanser melalui ‘Program Riang Raya’ yang berlangsung di Kompleks Tunku Laksamana Johor (KTLJ), Hospital Permai.
Program yang penuh dengan nilai kemanusiaan itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti sesi ramah mesra, penyampaian dedikasi harapan oleh pelajar UTHM, perkongsian pengalaman dan inspirasi oleh pejuang kanser serta pertandingan peragaan busana raya.
Turut hadir, Kol. (B) Dato’ Mohamed Perang Haji Musa, Pengarah Eksekutif YKTLJ dan Najwa Mohd Khalid, Ketua Unit Komunikasi Korporat YKTLJ.
Menurut Profesor Madya Dr. Nurmiza Othman, Penasihat 1 SYKTLJ UTHM, aktiviti seumpama itu memberi impak besar dalam memelihara kesejahteraan emosi pejuang kanser yang sering berdepan pelbagai tekanan fizikal dan mental dalam perjuangan mereka.
“Sokongan moral dan interaksi sosial yang terjalin dapat membantu meningkatkan semangat juang dan rasa dihargai dalam kalangan mereka,” katanya.
Selain menceriakan suasana menyambut lebaran, program itu turut mengukuhkan ukhuwah antara pelajar UTHM dan komuniti, di samping meningkatkan kesedaran tentang penyakit kanser dalam kalangan warga UTHM.
“Ia juga menjadi medium penting dalam memupuk semangat kesukarelawan, memperkukuh nilai kemanusiaan, empati dan keprihatinan mahasiswa, sejajar dengan modul jati diri GRIIT UTHM yang menekankan aspek “Resilience” dan “Trustworthy” dalam melahirkan graduan yang holistik dan cemerlang.
“Program ini juga diharap mampu membuka mata masyarakat terhadap pentingnya peranan komuniti dalam mendampingi dan menyokong golongan yang sedang berjuang melawan penyakit,” katanya.
Dalam jangka masa panjang, usaha seumpama itu mampu membentuk jaringan sokongan yang lebih kukuh antara institusi pendidikan, organisasi kebajikan dan masyarakat umum dalam memperjuangkan kesejahteraan golongan pesakit kronik seperti pejuang kanser.


